13 Dis 2010

Kegemilangan bola sepak Kelantan


PEMAIN skuad Kelantan meraikan kejayaan mereka muncul juara Puncak Piala Emas Raja-Raja edisi ke-70.



PERSATUAN Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM) berpuas hati dengan penganjuran edisi ke-70 saingan Puncak Piala Emas Raja-Raja dan berharap kejohanan tahun depan dapat dianjurkan pada skala lebih besar selain terus menjadi medan penting mencungkil bakat baru.
Presiden PBSMM, Datuk Takiyuddin Hassan berharap kejohanan Piala Emas Raja-Raja dapat dijadikan pentas buat pasukan-pasukan mengenal pasti, mencungkil dan mengasah bakat pemain-pemain yang berpotensi untuk diketengahkan dalam skuad utama Liga Perdana atau Liga Super.
“Matlamat kami ialah menjadikan kejohanan ini sebagai medan bagi pasukan-pasukan mengetengahkan bakat pemain ke saingan liga lebih tinggi,” katanya.
Menurut Takiyuddin, sebagai antara kejohanan tertua di negara ini, Piala Emas Raja-Raja boleh memainkan peranan signifikan dalam membantu usaha pembangunan bola sepak tanah air terutamanya penyaluran barisan pemain pelapis.
Menerusi siaran langsung di Astro Arena (Saluran 801) dan sokongan padu media cetak dan elektronik tahun ini, pertandingan itu dapat diikuti dengan lebih dekat, sekali gus memberi pendedahan dan meningkatkan profil pemain dan pasukan.
“Peranan media amat penting, terutama bagi kejohanan seperti Piala Emas Raja-Raja yang selama ini dianjurkan dengan bajet yang amat terhad,” katanya sambil berterima kasih kepada Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. yang merupakan penaja utama kejohanan.
Buat tahun kedua berturut-turut, Puncak Niaga muncul sebagai penaja utama dengan jumlah tajaan RM200,000 untuk edisi tahun ini.
Pengurusan PBSMM juga berharap dapat melakukan penambahbaikan bagi memastikan kualiti pertandingan terus meningkat dan dapat menarik pembabitan lebih banyak penaja.
Tahun ini, pendaftaran lima pemain dari Liga Super dibenarkan dengan tujuan merancakkan saingan dan memberi peluang kepada pasukan memperkuatkan barisan mereka.
Masalah jadual juga bakal diperhalusi terutama apabila mengambil kira pertandingan di akhir tahun yang sering dibelenggu masalah hujan dan musim tengkujuh.
Menurut Takiyuddin, PBSMM mempunyai beberapa perancangan masa depan termasuk membentuk sebuah pasukan untuk bersaing dalam Liga FAM dan liga-liga yang lebih tinggi.
“Ini tentunya memerlukan kos yang amat tinggi, harapan kami ia menjadi realiti pada tahun 2012. Pada masa ini, kami merancang untuk menjana dana menerusi aktiviti amal,” katanya.
Saingan tahun ini bermula sejak 5 November lepas tanpa menggunakan sistem zon seperti lazimnya. Sebaliknya 16 pasukan dibahagikan kepada empat kumpulan tanpa mengira zon.
Empat venue dipilih bagi perlawanan peringkat kumpulan iaitu Stadium Utama Negeri Kangar, Stadium Perak di Ipoh, Stadium UiTM di Shah Alam dan Stadium Sultan Muhammed ke-IV di Kota Bharu.
Dalam pada itu, penganjuran perlawanan akhir di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV di Kota Bharu semalam berjalan lancar tanpa sebarang insiden buruk seperti edisi tahun lepas.
Kelantan melengkapkan kejayaan tahun ini dengan mengetepikan Kedah pada perlawanan akhir menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0.
Ia merupakan kejayaan berganda buat Kelantan yang sebelum ini berjaya membawa pulang Piala Malaysia ke Kota Bharu.
Kelantan menundukkan Kedah 4- 3 menerusi penentuan penalti, sekali gus memberikan hadiah berganda buat 10,000 ribu penyokong Red Warriors yang hadir memberi sokongan padu di Stadium Sultan Mouhammed ke-IV Kota Bharu itu.
Dengan kemenangan itu, Kelantan meraih hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 dan piala manakala Rosairil Asrol Mat Nor dipilih sebagai Pemain Terbaik kejohanan. -kosmo

Tiada ulasan: