21 Mei 2015

'Pok Ya Rambo' nazar berlari dari Bukit Jalil ke Kota Bharu

Seorang peminat fanatik pasukan Kelantan bernazar mahu berlari dari Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur ke Kota Bharu jika skuad bergelar The Red Warriors itu berjaya menjulang Piala FA, Sabtu ini.

Zakaria Yusof, 65, datuk kepada 13 cucu itu, berkata sekiranya pasukan Kelantan menang, misinya itu akan bermula pada pukul 8 pagi, hari berikutnya. 

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan 'Pok Ya Rambo' berkata idea itu timbul apabila melihat seorang peminat Pahang, Abdul Majid Abdul Hamid, 58, atau Pak Majid menunaikan nazarnya dengan berjalan kaki secara solo sejauh 280 kilometer dari Kuantan ke Stadium Shah Alam, tahun lalu.


 "Jika dia (Pak Majid) boleh melakukannya, saya juga mampu untuk buat... jadi saya mahu buktikan bahawa usia bukan penghalang. "Ini adalah tanda sokongan saya kepada Kelantan dan saya harap kita akan menang pada perlawanan itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini."Isteri saya Wan Moh Wan Abdullah, 52, dan anak tidak ada sebarang masalah dengan misi ini," katanya.

Misinya itu membabitkan jarak perjalanan kira-kira 500km, bermula dari Stadium Bukit Jalil ke Kuala Lipis, Pahang sebelum memasuki Kelantan dan menamatkan lariannya di Stadium Sultan Muhammad IV di sini. Perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Lions XII dari Singapura akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. 

Kelantan, yang muncul juara pada 2012 dan 2013, mara ke final menerusi kemenangan agregat 3-2 ke atas juara bertahan Pahang pada separuh akhir. Lions XII pula melangkah ke final menerusi peraturan gol tempat lawan walaupun terikat 4-4 secara agregat dalam satu lagi aksi separuh akhir dengan Terengganu, Sabtu lalu. - BERNAMA

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Bernazar benda yang baik-baik untuk benda yang baik-baik ajelah, biarlah berpada-pada...