8 Jan 2014

Khairul Fahmi, Nik Shahrul sambung kontrak lima tahun

Khairul Fahmi Che Mat dan Nik Shahrul Azim Ab. Halim (kiri) memberi pose kepada jurugambar selepas majlis pengumuman penyambungan kontrak mereka dengan The Red Warriors di Kota Bharu, Kelantan semalam.

The Red Warriors telah menyambung kontrak penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat dan Nik Shahrul Azim Ab. Halim selama lima tahun lagi yang akan memastikan dua pemain bintang itu kekal di Kota Bharu hingga 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif TRW Sdn. Bhd., Kevin Ramalingam yang mengumumkan berita baik kepada peminat skuad Kelantan itu berkata, walaupun kontrak yang ditawarkan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak lumayan seperti beberapa pasukan lain, namun kerana kesetiaan terhadap The Red Warriors kedua-dua pemain itu memilih untuk terus menyarung jersi Kelantan.

"Saya cukup menyanjung tinggi komitmen yang ditunjukkan oleh kedua-dua pemain tonggak berkenaan.

"Ini merupakan kontrak yang paling lama pernah ditandatangani oleh mana-mana yang pemain yang beraksi dalam saingan Liga Super dan kontrak ini dibenarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," kata Kevin kepada pemberita pada majlis pengumuman kontrak dua bintang The Red Warriors di sini semalam.

Khairul Fahmi atau lebih dikenali dengan panggilan Apek sebelum ini dikhabarkan cuba dipancing oleh beberapa pasukan yang mahu mendapatkan khidmatnya, begitu juga dengan tonggak pertahanan, Nik Shahrul.

Kelvin menyifatkan kejayaan mengikat dua pemain itu sesuatu yang amat besar maknanya buat The Red Warriors kerana melibatkan tempoh masa panjang dan memerlukan sumber kewangan kukuh untuk mengendalikan pasukan.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut kontrak kedua-dua pemain itu.

Selain mengikat dua pemain itu untuk jangka panjang, Kelvin memaklumkan KAFA turut menyambung kontrak dengan dua lagi pemain berpengalaman, Zairul Fitree Ishak dan ketua pasukan Mohd. Badhri Radzi.

"Mohd. Badhri mengikat kontrak selama dua tahun, manakala Zairul Fitri tiga tahun," katanya.



Sumber : Utusan

Tiada ulasan: