KELANTAN bakal pertaruhkan skuad kedua apabila bertemu juara Liga Vietnam
musim lalu, SHB Da Nang pada aksi perlawanan pertama pusingan kedua
Kumpulan G, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Chi Lang,
petang ini.
Empat tonggak utama iaitu Kapten, Mohd Badhri Radzi, Mohd Shakir
Shaari, Mohamad Zamri Ramli dan Mohd Daudsu Jamaluddin tidak ikut serta
menyertai skuad kendalian Bojan Hodak atas alasan perlu direhatkan
sebagai persediaan menghadapi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam
pertemuan Liga Super di Kota Bharu, Sabtu ini.
Pengurus The Red Warriors (TRW), Azman Ibrahim berkata, keputusan untuk
tidak membawa empat pemain tersebut bukan bermakna pasukannya memandang
mudah apabila bertemu SHB Da Nang, lawan yang ditewaskan dengan
jaringan 5-0 pada aksi pusingan pertama di Kota Bharu, minggu lalu.
“Kita lebih fikirkan kesan dihadapi pemain. Kalau tengok selepas
perlawanan dengan SHB Da Nang, kita terpaksa mengharungi lebih 12 jam
sebelum tiba di Kota Bharu lewat malam Khamis ini,” katanya.
“Kemudian kita akan jumpa ATM di Kota Bharu (Sabtu), selepas itu kena
terbang ke Sarawak untuk suku akhir kedua Piala FA. Jadi setelah
berbincang, kita buat keputusan bawa beberapa pemain simpanan ke
Vietnam.
Tanpa empat pemain itu, harapan kini digalas pasukan juara tiga piala
musim lalu itu terhadap Mohd Faiz Subri, K Nanthakumar, Zairo Anuar
Zalani dan Indra Putra Mahayuddin menerajui jentera tengah selain
ketajaman gandingan ‘2D’ iaitu Dimitrios Pertratos dan Dickson Nwakaeme
selaku penggempur berbisa TRW.
“Kita masih ada empat pemain import. Malah Khairul Fahmi Che Mat juga
turut bersama kita. Mengenai, Mohd Norfarhan Muhammad memang dia masih
belum cergas, sebab itu kita hanya turunkan sekitar 10 hingga 20 minit,”
katanya.
Mengulas pertemuan petang ini, Azman mengakui pasukannya bakal berdepan
tugas getir memandangkan SHB Da Nang pasti mahu membalas dendam atas
kekalahan lalu selain mahu kutip mata penuh bagi layak ke pusingan
kedua.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan