6 Mac 2013

Harimau Malaya tagih bisa Piya

SELEPAS sekian lama diselubungi kontroversi, kapten Kelantan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi akhirnya dipanggil memperkuat Harimau Malaya bagi mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2015 berdepan Yemen di Stadium Shah Alam pada 23 Mac ini.

Badhri yang mesra dengan panggilan Piya, bakal menyertai 27 pelatih Harimau Malaya yang akan berkumpul di latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula 11 Mac ini.

Sebelum berdepan Yemen, Harimau Malaya bakal diuji Arab Saudi dalam satu aksi persahabatan (17 Mac) selain turut dijadualkan berdepan Palestin dalam satu perlawanan amal di Kuantan, Pahang pada 26 Mac.

Sebelum ini, nama Piya sering menimbulkan perdebatan dalam kalangan penyokong tempatan kerana tidak berada dalam perancangan Rajagobal mengharungi beberapa perlawanan utama biarpun beraksi cemerlang bersama The Red Warriors.

Selain Piya, antara nama yang kembali tersenarai kali ini termasuklah Abdul Manaf Mamat dan juga Safiq Rahim yang sebelum ini terlepas aksi berdepan Qatar gara-gara menjalani hukuman penggantungan perlawanan.

Begitupun, pengurus Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal menangkis dakwaan bahawa Piya dipanggil semata-mata bagi memenuhi kehendak penyokong.

Sebaliknya, beliau memberitahu, kredibiliti Piya tidak wajar disangkal dan telah lama berada dalam perancangan Rajagobal.

“Jika diikutkan, nama Piya ada sebelum berdepan Qatar, namun Amri Yahyah yang lebih versatil dilihat lebih sesuai bagi menampung ketiadaan beberapa pemain utama yang tercedera ketika itu.

“Kewibawaan Piya tidak wajar dipersoalkan mana-mana pihak. Kami bukan mengamalkan dasar pilih kasih dalam mengenal pasti pemain terbaik. Piya layak kerana dia layak, bukannya kerana desakan mana-mana pihak,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Ketika ditanya mengapa sekarang Piya dipilih dan bukannya ketika misi mempertahankan Piala Suzuki AFF tahun lalu, jelas Subahan: “Masa itu, Piya baru sahaja membantu Kelantan menjuarai Piala Malaysia.

“Sepatutnya, perkara ini tidak lagi disensasikan. Yang penting, Piya harus membuktikan kredibilitinya bersama skuad kebangsaan.” 

Untuk rekod, kali terakhir Piya menyarung jersi kebangsaan ialah ketika berdepan Chelsea dalam satu aksi persahabatan di bawah kendalian Ong Kim Swee pada Julai 2011.

Dia merupakan antara ‘arkitek’ terbaik negara apabila membantu skuad kendalian Bojan Hodak menjulang gelaran trebel musim lalu.

Dalam pada itu, Subahan mahu pemain negara menganggap pertemuan dengan Yemen sebagai misi ‘hidup mati’ Harimau Malaya bagi menghidupkan peluang menyambar slot pusingan akhir Piala Asia 2015 yang bakal berlangsung di Australia.

“Saya percaya kekalahan 0-2 kepada Qatar tempoh hari mematangkan pemain supaya lebih berwaspada ketika berdepan Yemen nanti.

“Jadi, kami wajib memenangi perlawanan itu,” kata- nya.

Credit : Kosmo

Tiada ulasan: