KOTA BHARU - Kelantan membawa bekalan tipis
tetapi cukup berharga ke Stadium Shah Alam, Jumaat depan selepas
menewaskan Selangor 1-0 pada pertemuan separuh akhir pertama Piala
Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.
Perlawanan yang dicemari dengan beberapa insiden kekasaran itu turut
menyaksikan Red Giants terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas
tonggak pertahanan, Nasriq Baharom dilayangkan kad merah pada minit
ke-64.
Meskipun berdepan dengan sorakan padu kira-kira 25,000 penyokong
tuan rumah, Selangor berpeluang mendapatkan gol pendahuluan seawal minit
kelima, namun Bosko Balaban merembat bola melepasi palang gol.
Giliran tuan rumah cuba menghasilkan gol pada minit ke-16 melalui
larian solo Mohd. Ghaddar, namun percubaannya tersasar ke sebelah kiri
gawang.
Permainan agak seimbang selepas itu dengan kedua-dua pasukan
berbalas serangan, namun tiada percubaan tepat daripada mana-mana pemain
sehingga tamat babak pertama.
Sebaik sahaja perlawanan babak kedua bermula, tuan rumah lebih
agresif dengan serangan yang lebih kemas dan gol yang dicari The Red
Warriors akhirnya menjelma pada minit ke-62 menerusi pemain tengah,
Mohd. Nor Farhan Mohamad.
Farhan mudah memperdayakan pertahanan pelawat sebelum merembat kencang ke sudut gawang.
Gol tersebut dianggap 'hadiah' gara-gara kesilapan pemain sayap
pelawat, Syazwan Fitri yang kehilangan bola meskipun dia tidak diasak.
Dua minit selepas itu, Selangor terus ditimpa malang selepas
pengadil perlawanan, Mohd. Yusof Mat Karim melayangkan kad merah kepada
Nasriq yang melakukan terjahan keras kaki kiri yang hinggap di lutut
kanan Nurul Azwan Roya.
Kelebihan tersebut digunakan sepenuhnya untuk Kelantan melancarkan
serangan balas yang bertali arus, namun kecekapan penjaga gol Selangor,
Norazlan Razali berjaya menafikan serangan tuan rumah.
Selangor turut berpeluang mencari gol penyamaan menerusi kapten pasukan, Safiq Rahim, namun menyaksikan bola tersasar.
Sumber : Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan