KUALA TERENGGANU - Kelancangan Peter Butler
(gambar) yang bersuara secara terbuka mengenai pemain skuad bimbingannya
sehingga mengheret kontroversi berpanjangan membawa padah, apabila
jurulatih Terengganu itu digantung enam bulan.
Malah Butler turut didenda RM4,000 ekoran kenyataannya kepada media
mengenai dua pemain yang didakwa melanggar disiplin dengan pulang lewat
ke hotel penginapan di Alor Setar 1 September lalu.
Butler didapati bersalah mengeluarkan kenyataan dengan menuduh Muslim
Ahmad dan Ismail Faruqi Asha'ari melakukan kesalahan tersebut tanpa
pengetahuan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).
Selain itu, gaji Butler turut dipotong 15 peratus selama sebulan atas
kesalahan bertindak biadab memalukan penjaga gol, Ahmad Sharbinee
Allawee di depan ribuan penonton sewaktu Terengganu menentang Kedah di
Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 3 September lalu.
Manakala tiga pemain Terengganu yang terlibat dalam kontroversi
dengan Butler iaitu Muslim, Ismail dan Ahmad Sharbinee diberi amaran
keras dan setiap seorang didenda RM1,000.
Muslim dan Ismail mengaku bersalah atas tuduhan pulang lewat ke hotel
sebelum perlawanan Terengganu menentang Kedah di Alor Setar tempoh
hari.
Ahmad Sharbinee pula dikenakan hukuman serupa kerana kesalahan
membaling botol minuman ke arah Butler di depan penonton sewaktu
Terengganu menentang Kedah di sini, seminggu selepas perlawanan di
Kedah.
Hukuman itu diputuskan Jawatankuasa Tatatertib PBSNT yang dipengerusikan Ahmad Shukri Zakaria di sini, semalam.
Turut hadir Timbalan Presiden PBSNT, Sheikh Tajuddin Sheikh Yusof;
tiga Naib Presiden, Datuk Mokhtar Nong, Marzuki Sulong dan Zulkifli Ali
serta Ahmad Shukri.
Pada sidang akhbar selepas itu, Ahmad Shukri berkata, penyerang
import, Francis Forkey Doe turut dikenakan tindakan tatatertib iaitu 10
peratus daripada gaji pokoknya dipotong sebulan.
Menurutnya, Forkey Doe dikenakan hukuman kerana sengaja menyiku muka
seorang pemain Kedah pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin
Shah 3 September lalu.
Che Mat berkata, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggantung
Forkey Doe empat perlawanan dan denda RM2,000 kerana kesalahan yang
sama.
Menurutnya, hukuman ke atas Butler serta empat pemain berkenaan berkuatkuasa hari ini.
Menurutnya, sepanjang tempoh penggantungan, tugas Butler akan
diambilalih pembantu jurulatih, Khalid Md. Dahan buat sementara waktu
"Kesemua mereka yang dikenakan hukuman dibenarkan mengemukakan
rayuan, terserah kepada mereka untuk merayu dalam tempoh tujuh hari.
"Mesyuarat hari ini (semalam) hanya membincangkan masalah yang
berkaitan dengan hukuman atas kesalahan yang disebutkan tadi dan tidak
langsung menyentuh mengenai kesalahan lain seperti membawa balik
perempuan ke hotel," ujarnya.
Mesyuarat juga tidak membincangkan mengenai proses siasatan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Ahmad Sharbinee.
Kata Che Mat, perkara itu diserahkan kepada SPRM untuk tindakan selanjutnya.
Sumber : Utusan
1 ulasan:
These are actually wonderful ideas in concerning
blogging. You have touched some good points here. Any way keep up wrinting.
Feel free to surf to my webpage cellulite treatment
Catat Ulasan