18 Sep 2012

Butler digantung enam bulan

KUALA TERENGGANU - Kelancangan Peter Butler (gambar) yang bersuara secara terbuka mengenai pemain skuad bimbingannya sehingga mengheret kontroversi berpanjangan membawa padah, apabila jurulatih Terengganu itu digantung enam bulan.

Malah Butler turut didenda RM4,000 ekoran kenyataannya kepada media mengenai dua pemain yang didakwa melanggar disiplin dengan pulang lewat ke hotel penginapan di Alor Setar 1 September lalu.
Butler didapati bersalah mengeluarkan kenyataan dengan menuduh Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi Asha'ari melakukan kesalahan tersebut tanpa pengetahuan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Selain itu, gaji Butler turut dipotong 15 peratus selama sebulan atas kesalahan bertindak biadab memalukan penjaga gol, Ahmad Sharbinee Allawee di depan ribuan penonton sewaktu Terengganu menentang Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 3 September lalu.


Manakala tiga pemain Terengganu yang terlibat dalam kontroversi dengan Butler iaitu Muslim, Ismail dan Ahmad Sharbinee diberi amaran keras dan setiap seorang didenda RM1,000.

Muslim dan Ismail mengaku bersalah atas tuduhan pulang lewat ke hotel sebelum perlawanan Terengganu menentang Kedah di Alor Setar tempoh hari.

Ahmad Sharbinee pula dikenakan hukuman serupa kerana kesalahan membaling botol minuman ke arah Butler di depan penonton sewaktu Terengganu menentang Kedah di sini, seminggu selepas perlawanan di Kedah.

Hukuman itu diputuskan Jawatankuasa Tatatertib PBSNT yang dipengerusikan Ahmad Shukri Zakaria di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Presiden PBSNT, Sheikh Tajuddin Sheikh Yusof; tiga Naib Presiden, Datuk Mokhtar Nong, Marzuki Sulong dan Zulkifli Ali serta Ahmad Shukri.

Pada sidang akhbar selepas itu, Ahmad Shukri berkata, penyerang import, Francis Forkey Doe turut dikenakan tindakan tatatertib iaitu 10 peratus daripada gaji pokoknya dipotong sebulan.

Menurutnya, Forkey Doe dikenakan hukuman kerana sengaja menyiku muka seorang pemain Kedah pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah 3 September lalu.

Che Mat berkata, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggantung Forkey Doe empat perlawanan dan denda RM2,000 kerana kesalahan yang sama.

Menurutnya, hukuman ke atas Butler serta empat pemain berkenaan berkuatkuasa hari ini.
Menurutnya, sepanjang tempoh penggantungan, tugas Butler akan diambilalih pembantu jurulatih, Khalid Md. Dahan buat sementara waktu

"Kesemua mereka yang dikenakan hukuman dibenarkan mengemukakan rayuan, terserah kepada mereka untuk merayu dalam tempoh tujuh hari.

"Mesyuarat hari ini (semalam) hanya membincangkan masalah yang berkaitan dengan hukuman atas kesalahan yang disebutkan tadi dan tidak langsung menyentuh mengenai kesalahan lain seperti membawa balik perempuan ke hotel," ujarnya.

Mesyuarat juga tidak membincangkan mengenai proses siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Ahmad Sharbinee.

Kata Che Mat, perkara itu diserahkan kepada SPRM untuk tindakan selanjutnya.

Sumber : Utusan

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

These are actually wonderful ideas in concerning
blogging. You have touched some good points here. Any way keep up wrinting.


Feel free to surf to my webpage cellulite treatment