8 Ogo 2012

Pengurusan Kedah didesak letak jawatan

Empat kelab penyokong bola sepak Kedah hari ini mendesak semua pihak dalam Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) termasuk Presidennya Datuk Seri Azizan Abdul Razak meletak jawatan dengan segera berikutan prestasi hambar pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Gesaan tersebut dibuat oleh Kenari Fans Skuad, Ultras Kedah, Kelab Peminat Bola Sepak Kedah dan Persatuan Setia Anak Rantau Kedah yang mendakwa mewakili 50,000 penyokong dan peminat bola sepak Kedah, berikutan prestasi buruk yang ditunjukkan pasukan negeri hingga terpaksa turun ke Liga Perdana dalam saingan tahun depan.

Jurucakap gabungan kelab penyokong Kedah itu, Mohd Sazali Mohd Sobri berkata selama empat tahun di bawah pengurusan Azizan, yang juga Menteri Besar Kedah, prestasi pasukan tersebut tidak konsisten sehingga gagal mengekalkan kedudukan dalam Liga Super musim depan.

Beliau berkata rata-rata jawatan tertinggi dalam KFA disandang oleh ahli politik yang menjadikan persatuan sebagai platfom untuk meraih undi pada pilihan raya umum akan datang tanpa memikirkan cara untuk membangunkan bola sepak negeri.

"Kita patut ketepikan isu politik dalam bola sepak. Kita perlu jadikan Kelantan sebagai 'role model' yang kini menjadi antara pasukan yang digeruni pihak lawan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.


Mohd Sazali berkata pihaknya juga telah melakukan demonstrasi dan menghantar memorandum kepada KFA dan juga Presidennya namun tidak ada sebarang tindakan bagi membetulkan kelemahan yang membelenggu persatuan itu.

Katanya KFA juga tidak mampu untuk mencari penaja bagi mendapatkan sumber kewangan dan tidak boleh berharap kepada satu penaja sahaja iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri.

Beliau berkata PKNK memperuntukkan sebanyak RM3 juta se
musim untuk kegunaan KFA menguruskan persatuan serta pasukan bola sepak negeri tetapi ia tidak mencukupi dan kekangan sumber kewangan menyebabkan Kedah gagal mendapatkan pemain import dan tempatan yang berkualiti.

Beliau yang mewakili penyokong Kedah berharap pihak pengurusan KFA yang gagal untuk meletakkan pasukan Kedah berada pada kedudukan terbaik musim ini agar secara sukarela meletak jawatan bagi memberi peluang kepada orang lain untuk mengemudi pasukan Kedah menjulang Piala Malaysia yang berlangsung pertengahan bulan ini.

Mereka turut berharap agar zaman kegemilangan bola sepak Kedah kembali menyinar seperti zaman kegemilangan di bawah pengurusan Allahyarham Datuk Ahmad Basri Mohd Akil.

Stadium Astro

Tiada ulasan: