Ke Kelana Jaya, berdepan Jawatankuasa Tatatertib FAM
Kota Bharu: Pemain import Kelantan, Mohamed Ghaddar mengotakan
janjinya untuk pulang bersama The Red Worriors apabila tiba di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, petang semalam.
Bagaimanapun, pemain itu tidak terus ke Kota Bharu, untuk berhadapan
perbicaraan dengan Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bola Sepak Kelantan
(KAFA) berhubung kelewatannya melaporkan diri bersama pasukan itu, Ahad
lalu.
Hadapi perbicaraan
Sebaliknya dia akan ke Kelana Jaya, hari ini untuk berdepan
Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi
perbicaraan kesnya yang didakwa melakukan kekasaran terhadap pemain
lawan.
Perkara itu disahkan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Affendi Hamzah, semalam.
Langsung perkahwinan
“Ghaddar yang bercuti di Lubnan selepas melangsungkan
perkahwinannya dengan seorang gadis berusia 19 tahun pada hujung Jun
lalu, tiba dari Beirut, semalam dan akan terus berada di Kuala Lumpur
untuk menghadiri perbicaraan di Wisma FAM, hari ini,” katanya kepada BH
Sukan, semalam.
Beliau berkata, bekas penyerang kebangsaan Lubnan itu akan
diiringi Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim, yang juga pengurus
pasukan Kelantan untuk hadir di perbicaraan itu.
“Dia akan memberi penjelasan berhubung insiden kekasaran terhadap
pemain Selangor, Bunyamin Umar yang didakwa dilakukannya ketika
perlawanan antara The Red Warriors dengan pasukan itu di Stadium Sultan
Muhammad IV, Kota Bharu 29 Jun lalu.
"Kita akan beri laluan kepada FAM untuk membuat perbicaraan ini
dan selepas itu barulah Ghaddar menghadap Jawatankuasa Disiplin KAFA
berhubung kelewatannya melaporkan diri bersama pasukan Kelantan,"
katanya.
Semalam akhbar ini melaporkan Ghaddar akan dihadapkan ke
Jawatankuasa Disiplin KAFA selepas penyerang berbisa The Red Warriors
itu pulang dari Beirut, Lubnan.
Jawatankuasa Disiplin yang diketuai Setiausaha Agung KAFA, Azman
Ibrahim, akan mendapatkan penjelasan dari pemain berkenaan mengenai
tindakannya tidak melaporkan diri sebaik cutinya berakhir Ahad lalu.
Bagaimanapun, KAFA tidak menjelaskan bentuk tindakan yang akan
diambil terhadap Ghaddar jika pemain itu gagal memberi jawapan
munasabah.
Sumber : Bharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan