4 Jan 2012

Red Warriors yakin pertahan Piala Sumbangsih

KOTA BHARU - Kelantan melaungkan keyakinan untuk mempertahankan Piala Sumbangsih menentang juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Pengurus pasukan, Azman Ibrahim berkata, meskipun bakal beraksi di Stadium Bukit Jalil selepas keadaan cuaca yang tidak menentu di Kota Bharu, ia tidak menjejaskan persiapan pasukan untuk menghadapi perlawanan tersebut.
Berdasarkan persiapan rapi yang dilakukan sepanjang Disember lalu, beliau yakin dan percaya Kelantan mampu mempertahankan kejuaraan.
"Kejayaan lalu perlu dikekalkan selepas kali pertama melakukannya tahun lalu.
"Ia amat penting buat pasukan sebagai pembakar semangat mengharungi saingan liga musim ini yang dilihat agak mencabar dengan kehadiran semula pemain import.
"Bagi memastikan misi tersebut terlaksana, kita akan mempertaruhkan barisan terbaik dalam perlawanan tersebut untuk memastikan Piala Sumbangsih terus kekal bersama Red Warriors," katanya ketika di temui pemberita di sini, semalam.
Tambahnya, begitu pun Kelantan tetap menghormati Negeri Sembilan dan mengingatkan barisan pemain supaya tidak memandang rendah kemampuan pasukan lawan.
"Negeri Sembilan sebuah pasukan yang hebat, walaupun kehilangan beberapa tonggak, saya percaya ia tidak menjejaskan persiapan pasukan mereka.
"Kehadiran penggempur berbisa dari Cameroon perlu diberikan perhatian oleh Kelantan pada perlawanan tersebut," ujarnya.
Kelantan musim ini diperkuat dengan kehadiran beberapa pemain berstatus bintang seperti Indra Putra Mahyuddin, Azizi Mat Rose, Norfarhan Mohammad dan penggempur berbisa Lubnan, Mohammad Ghaddar serta penyerang muda dari Ghana, Danny Antwi.
Mengulas mengenai perubahan venue perlawanan dari Kota Bharu ke Bukit Jalil, Azman memberitahu pihaknya menyambut baik keputusan yang dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Beliau yang juga Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkata, perubahan tersebut terpaksa dibuat akibat musim tengkujuh yang melanda Pantai Timur beberapa hari lalu.
"Berdasarkan ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi, Kelantan dijangka akan mengalami hujan sehingga Sabtu ini.
"Jadi jawatankuasa pertandingan tidak mahu mengambil risiko teruskan perlawanan di Kota Bharu kerana bimbang ia akan mendatangkan kecederaan kepada pemain.
"Lagipun kedua-dua pasukan telah bersetuju untuk memindahkan venue perlawanan tersebut. Bagi Kelantan kita tidak mempunyai masalah. Ia cukup baik buat kita sebaik persiapan sebelum bertemu dengan wakil Singapura, Lion XII pada perlawanan pertama Liga Super nanti," jelasnya.

-Sumber Utusan Malaysia

Tiada ulasan: