12 Jan 2012

Kemenangan suntik semangat Red Warriors


pemain Kelantan, Daudsu Jamaludin (kiri) bersaingan dengan lawannya dari Lions XII, Agu Kasmir pada perlawanan Liga Super di Stadium Jalan Besar, Singapura, kelmarin. Kelantan menang 2-1. - AFP


KOTA BHARU - Selepas gagal mempertahankan Piala Sultan Ahmad Shah, Sabtu lalu, juara bertahan Liga Super Kelantan mempamerkan rentak 'Sang Juara' apabila menumbangkan Lions XII 2-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura kelmarin.
Pengurus pasukan, Azman Ibrahim berkata, kemenangan ke atas Lions XII menghapuskan keraguan peminat
setia terhadap Red Warriors selepas gagal mempertahankan Piala Sultan Ahmad Shah.
"Tiga mata pertama ini cukup penting buat kita selepas tumbang kepada Negeri Sembilan tempoh hari. Kemenangan ini merupakan tonik berguna buat pasukan sebelum menghadapi perlawanan kedua bertemu PKNS Selangor di Stadium Sultan Muhammed IV, Jumaat ini.
"Saya berharap para pemain dapat mengekalkan momentum ini. Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan apa yang telah ditunjukkan oleh barisan pemain, mereka telah mempamerkan disiplin yang tinggi sepanjang perlawanan serta menunjukkan peningkatan baik selepas perlawanan terdahulu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Dalam pada itu, Azman berpuas hati dengan percaturan taktikal yang digunakan oleh Ketua Jurulatih, Peter Butler pada perlawanan tersebut.
"Percaturan yang dilakukan oleh jurulatih memang menjadi dan kita berjaya meriah kemenangan. Keputusan ini cukup melegakan pasukan. Jika kita tewas pada perlawanan semalam (kelmarin) ia pasti memberi tekanan buat Kelantan menjelang perlawanan kedua.
"Seperti yang saya katakan sebelum ini, pasukan kita tidak ada 'kesebelasan utama'. Kita mempunyai pemain yang ada keupayaan seimbang dan bersedia diturunkan setiap masa," ujarnya.
Mengulas mengenai aksi pemain di atas padang tiruan, Azman memberitahu, barisan pemainnya memerlukan tempoh 15 minit untuk menyesuaikan diri dengan permukaan padang tersebut.

Tiada ulasan: