KOTA BHARU – Kedudukan dua awang import dalam skuad The Red Warriors tergugat apabila Kelantan mengikat bekas tonggak pertahanan kebangsaan Nigeria, Obinna Nwaneri, 29.
Pada masa yang sama, The Red Warriors akan menguji seorang lagi pemain import dari Ghana iaitu Samad Okocha Awudu akan beraksi di posisi serangan.
KAFA dikatakan akan membuat keputusan tentang kedudukan Mohammed Ghaddar dan Denny Antwi dalam masa terdekat tetapi banyak pihak melihat kemungkinan besar akan digugurkan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa melalui laman sosial “facebook” miliknya kira-kira pukul 5 petang hari ini mengesahkan Obinna telah menandatangani kontrak dengan pasukan tersebut.
“KAFA hari ini menandatangani kontrak dgn bekas pemain pertahanan kebangsaan Nigeria yang terkenal Obinna Nwaneiri.
“Obinna yang hadir menyaksikan TRW vs Kuala Lumpur baru-baru ini teruja dengan suasana di Stadium Sultan Muhammad Ke V dan berjanji akan menggunakan pengalaman luasnya untuk memperkasakan lagi TRW
“Obinna dijangka beraksi menentang Harimau Malaya lusa,” katanya.
Obinna merupakan pemain yang beraksi bersama Nigeria sebanyak 33 kali sejak 2005 dan pernah beraksi bersama kelab Kazma Sporting dalam liga utama di Kuwait pada tahun lalu.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Azman Ibrahim berkata, Okocha akan diuji dalam perlawanan persahabatan mementang Balistier Khalsa FC dari Singapura pada 4 Febuari ini di Kota Bharu.
“Okocha dijangka tiba di Kota Bharu pada 2 Februari ini. Beliau merupakan bekas pemain kelab Hapoel Ramat Gan dalam Liga Israel pada tahun lalu.
“Sekiranya kedua-dua pemain import yang diuji itu berjaya memikat hati, pihak pengurusan tidak teragak-agak untuk menawarkan kontrak kepada mereka beraksi bersama pasukan The Red Warriors musim ini,” katanya.
Sementara itu, difahamkan dua pemain import yang didaftarkan beraksi dalam Kejohanan Piala AFC sebelum ini iaitu Emmanuel Ayaah Okine (Ghana) dan Zacharia Yehya Charara (Lubnan) bakal dipinjamkan kepada pasukan Liga Super Kuala Lumpur dalam masa terdekat ini.
Sumber : Detik Perubahan
1 ulasan:
moga kelate mene ja!
Catat Ulasan