KUALA LUMPUR - Jurulatih Red Warriors, Peter Butler menyalahkan barisan pertahanan sebagai punca kekalahan 1-2 kepada Negeri Sembilan dalam Perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah kelmarin.
Butler berkata, menguasai perlawanan dan bermain cantik tidak cukup untuk bergelar pemenang jika pemain melakukan kesilapan sehingga membuka ruang kepada lawan mendapat gol.
"Kami bermain dengan baik berbanding lawan yang mengamalkan permainan menghantar bola terus ke depan, tetapi ternyata ia lebih berkesan. "Namun, akibat beberapa kesilapan barisan pertahanan, kami akhirnya dihukum dan lawan mengambil kesempatan menjaringkan gol.
"Ketiadaan Azizi Mat Rose pada babak kedua memberikan kesan pada barisan pertahanan yang gagal bermain dengan baik.
"Tiada apa yang boleh saya perkatakan lagi, saya memang kecewa tetapi kami harus terus terima kekalahan ini, " katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan kelmarin.
Selain ketangkasan pemain import Cameroon, Jean Emmanuel Effa Owona yang gagal dikekang oleh pertahanan Kelantan, keserasian antara pemain tempatan dan pemain import dalam skuad Red Warriors juga dilihat masih belum menjadi.
Banyak hantaran dan pergerakan antara Muhamad Ghaddar, Indra Putra Mahayuddin dan Norshahrul Idlan Talaha mudah disekat G. Mahathevan serta Norhafiz Zamani Misbah terutama pada babak kedua.
Malahan, corak permainan yang diterapkan Butler menimbulkan persoalan kerana terlalu bertahan apabila dia meletakkan lima pemain yang lebih gemar melakukan serangan.
Ini menyebabkan ketua pasukan, Mohd. Shakir Shaari berseorangan membantu pertahanan Kelantan ketika lawan melakukan serangan balas.
Bertambah malang buat Butler, tonggak pertahanannya, Azizi Mat Rose mungkin terpaksa diketepikan selama lima minggu kerana mengalami kecederaan serius.
Ini disahkan pengurus Kelantan, Azman Ibrahim.
"Azizi perlu dikeluarkan kerana cedera. Dia perlu berehat panjang kerana kami rasa dia mengalami ACL (Anterior Cruciate Ligament)," kata Azman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan