6 Dis 2011

Aksi persahabatan pentas Red Warriors adun keserasian

KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan menumpukan beberapa siri perlawanan persahabatan sebagai persediaan awal pasukan itu untuk bersaing dalam Liga Malaysia musim depan.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia merupakan satu strategi untuk mengadun keserasian pemain bagi membentuk corak permainan yang lebih efisyen dan bersefahaman.
"Dalam bulan ini kita akan tumpukan kepada perlawanan persahabatan dengan memfokuskan kepada pelapis pasukan utama yang sebenarnya.
"Setakat ini tiga perlawanan persahabatan telah disahkan akan diadakan di sini iaitu dengan pasukan T-Team, Terengganu dan pagi tadi kita mendapat pengesahan lisan daripada juara liga Qatar yang juga bersedia datang ke sini," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Beliau berharap, perlawanan yang bakal berlangsung akan memberi banyak impak serta ilmu kepada pemain Kelantan sama ada dari segi teknikal dan taktikal bagi membina kekuatan pasukan.
Ini kerana katanya, dalam permainan bola sepak pemain tidak semestinya sempurna dalam semua aspek, sebab itu persefahaman mantap di kalangan mereka menjadi elemen penting ketika beraksi di atas padang.
"Dalam bola sepak adakalanya pemain itu bagus dari sudut individu tetapi tidak dalam berpasukan dan sebaliknya. Jadi, kita sebenarnya mahukan kedua-dua itu dibentuk atau dirumus dalam pasukan. Ini yang dinamakan persefahaman atau keserasian dalam pasukan bola sepak," katanya.

Tiada ulasan: