PENGGEMPUR sensasi Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha atau 'Mat Yo' mengakui kehadiran dua penyerang pinjaman dari pasukan Pahang iaitu Azammuddin Akil dan R. Surendran menambah sengat di bahagian jentera serangan pasukan yang mendapat jolokan The Red Warriors itu.
Anak jati kelahiran Besut Terengganu itu berkata, kehadiran dua tonggak Pahang itu akan membantu Kelantan untuk menghadapi saingan Piala Malaysia kali ini.
"Setakat ini, saya tidak mempunyai masalah untuk bergandingan dengan mereka berdua dan persefahaman antara kami bertiga semakin mantap.
"Kehadiran dua pemain ini menjadikan jentera serangan Kelantan semakin mantap," katanya ketika ditemui pemberita ketika sesi latihan di Stadium Sultan Muhammed IV Kota Bharu malam kelmarin.
Dalam pada itu, Mat Yo memberitahu dalam saingan kali ini dia bertekad untuk membantu The Red Warriors layak ke separuh akhir seterusnya mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi pada tahun lalu.
"Saya sudah bersiap sedia untuk menghadapi saingan kali ini biarpun terpaksa berdepan dengan cabaran. Ini peluang terbaik buat saya untuk meneruskan rentak cemerlang Kelantan musim ini."Apa yang penting saya kena bagi yang terbaik dalam setiap perlawanan yang dilalui. Selain itu saya berharap rakan-rakan sepasukan dapat memberikan aksi terbaik dalam saingan kali ini," ujarnya.
Dalam saingan Liga Super musim ini, 'Mat Yo' muncul selaku penjaring terbanyak Kelantan dengan meledak 18 gol, sekali gus membantu The Red Warriors menjulang kejuaraan liga buat kali pertama sejak diperkenalkan pada tahun 1997.
Ketika diminta mengulas mengenai peluang Kelantan dalam saingan kali ini, 'Mat Yo' berkata, setiap pasukan mempunyai peluang dan Kelantan tidak boleh mengambil mudah kemampuan pasu- kan lawan.
"Semua pasukan yang ada dalam Kumpulan C mempunyai peluang sama rata, jadi kita kena bersedia dan perlu menggunakan kesempatan yang ada dalam setiap perlawanan untuk meraih kemenangan," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan