21 Jul 2011

Pemain senior perlu ambil kesempatan

KUALA LUMPUR, (D5) - Berbanding Siri Jelajah Asia 2011 ketika menentang Arsenal dan Liverpool, perlawanan bertemu dengan Chelsea memiliki tarikan istimewa tersendiri.

Perlawanan ini dianggap sebagai satu pendekatan baru kerana selain beraksi tanpa tekanan, pasukan yang dikendalikan Ong Kim Swee ini bakal menampil ramai pemain senior buat pertama kalinya.

Hairudin Omar, Norhafiz Zamani Misbah, Joseph Kalang Tie, Mohd Badri Mohd Radzi, Mohd Amri Yahyah, S. Subramaniam, Shahrulnizam Mustapa dan Mohd Daudsu Jamaluddin antara pemain senior yang diberi peluang untuk menguji skuad The Blues yang hadir ke Kuala Lumpur dengan pasukan utama.

Mereka bakal menjadi tonggak penting untuk membimbing para pemain skuad Olimpik lain di atas padang seperti Mohd Zubir Mohd Azmi, Abdul Shukor Jusoh, Mohd Irfan Fazail, Thamil Arasu Ambumamee, Gary Steven Robbat, Mohd Farizal Marlias, Mohammad Amer Saidin, Wan Zack Haikal Wan Nor, Mohd Fandi Othman, Syahrul Azwari Ibrahim, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria, Mohd Izham Tarmizi Roslan dan Mohd Affize Faisal Mamat.

Jarang, pasukan kebangsaan menyenaraikan pemain berusia lebih 25 tahun untuk menghadapi sesuatu tugasan antarabangsa lewat kebelakangan ini.

Kali terakhir Datuk K. Rajagobal menyenaraikan pemain senior ialah pada Piala Asia lalu dengan Amri Yahyah dan Norhafiz menjadi pilihan.

Era baru Harimau Malaya ini menerapkan corak permainan pantas dan kerja keras para pemain berbanding suatu ketika dahulu Malaysia lebih gemar mengamalkan corak hantaran jauh.

Para pemain ini dilihat bakal menjadi kayu pengukur pada masa hadapan bahawa para pemain senior seperti mereka juga cukup penting dan boleh memainkan peranan besar seandainya diberi peluang.

Dengan ramuan seperti ini, pasukan kebangsaan ini bukan sahaja mampu mempelbagaikan lagi corak permainan mereka agar lebih sukar dibaca pihak lawan bahkan mampu menyuntik motivasi kepada para pemain yang lebih senior untuk memperbaiki kelemahan mereka bagi memikat hati Rajagobal pada masa akan datang.

Sumber : Astro Arena

Tiada ulasan: