1 Jun 2011

Hadiah Lawatan Ke Eropah Jika Terengganu Juarai Piala FA Dan Liga Super

KUALA TERENGGANU, 31 Mei (Bernama) -- Pemain bola sepak Terengganu dijanjikan hadiah lawatan ke Eropah jika berjaya menjadi juara berganda dalam perlawanan akhir Piala FA dan Liga Super nanti.


Perkara itu diumumkan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said sebagai dorongan kepada Skuad Penyu beraksi dengan baik dalam perlawanan akhir Piala FA yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun ini selain berusaha menempah tiket untuk melangkah ke peringkat akhir Liga Super.

Katanya sebagai tanda sokongan, kerajaan negeri dan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu akan menghantar seberapa ramai rombongan untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala FA.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan bendera kontinjen Terengganu yang akan mengambil bahagian dalam Sukan Malaysia ke-14 kepada Ketua Kontinjen, Datuk Wan Ahamad Wan Muda di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini malam Isnin.

Sementara itu, Ahmad berkata kerajaan negeri Terengganu akan mengekalkan ganjaran wang tunai seperti sebelum ini kepada atlet yang berjaya memenangi pingat pada Kejohanan Sukan Malaysia di Kuala Lumpur bulan depan.

Insentif bernilai RM5,000 akan diberi kepada atlet yang berjaya memperoleh pingat emas, RM3,000 perak dan RM2,000 gangsa sekiranya kontinjen Terengganu muncul sebagai juara keseluruhan dalam kejohanan yang akan berlangsung dari 2 hingga 12 Jun itu.

"Jika sebaliknya, ganjaran RM3,000 akan diberi kepada mereka yang meraih pingat emas, RM2,000 perak dan RM1,000 gangsa," katanya.

Pada kejohanan kali ini, Terengganu diwakili oleh 214 atlet yang akan beraksi dalam 15 daripada 20 acara yang dipertandingkan dengan sasaran 27 pingat emas, 18 perak dan 12 gangsa.

-- BERNAMA

2 ulasan:

Dunia Baru berkata...

kasi lepas jupe kelate dulu la kalu nk jale2 ke eropah..hehehe

Tanpa Nama berkata...

jgn harap nok menang la ngan trw la,sebab tu kerajaan ganu royak lg tu.dah tahu dah kalah