KOTA BHARU - Akademi Bola Sepak Alhamra Red Warrrior (Army) akan memulakan latihan sulung di tujuh pusat latihan masing-masing tidak lama lagi.
Ia melibatkan 330 pelatih yang telah dipilih selepas sesi pemilihan di enam lokasi seluruh negeri bermula penghujung bulan Mac lalu.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, daripada 3,713 peserta yang mencuba nasib, hanya 330 sahaja yang terpilih berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan oleh panel pemilihan yang di ketuai oleh Pegawai Eksekutif Army, B. Sathianathan.
"KAFA begitu komited untuk membangunkan program pencarian bakat muda dengan lebih tersusun. Justeru, kita telah mencapai kata sepakat untuk merangka kerjasama bersama penaja-penaja kita untuk memastikan Army dapat digerakkan dengan jayanya.
"Mereka akan mula menjalani latihan secara rasmi pada 27 Mei ini dipusat masing-masing. Mereka juga perlu mengikuti modul kurikulum yang dirangka sendiri oleh kita. Malah mereka akan mengguna pakai peralatan yang diimport dari England bagi tujuan latihan di pusat masing-masing," katanya.
Beliau melancarkan pengenalan jersi baru Army dan majlis menandatangani perjanjian persefahaman bersama penaja di Kafe The Red Warrior Station di Pusat Perdagangan Kelantan (KTC), semalam.
Hadir sama Timbalannya, Datuk Afandi Hamzah, Naib Presiden, Datuk Ismail Md Nor, Sathianathan serta barisan jurulatih-jurulatih yang akan mengendali tujuh pusat latihan tersebut.
Annuar berkata, pihaknya bukan sahaja menitik beratkan aspek teknikal semasa latihan tetapi turut menekankan aspek pembangunan diri, psikologi, pemakanan, disiplin untuk diterapkan kepada peserta.
Annuar memberitahu majlis pelancaran rasmi Army akan disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed pada 18 Jun depan.
Katanya, selain itu, beliau telah mempersembahkan kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bagi mendapat perkenan untuk melantik Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra selaku Penaung Diraja bagi akademi ini.
Tujuh akademi ARMY yang akan beroperasi tidak lama lagi ialah Kota Bharu Satu (Telipot), Kota Bharu Dua (Ketereh), Kota Bharu Tiga (SMK Chengal), Tumpat, Bachok, Kuala Krai dan Tanah Merah.
Selain Happy sebagai penaja utama Kelantan musim ini, turut terlibat ialah Warriors Solution, Alhamra, Yusmira Trading Sdn Bhd, UMBRO, Wana Motors dan Ikmal Motors.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan