Pemain Perak, Akmal Rizal (kiri) dihalang pemain Kelantan, Mohd. Farisham Ismail pada perlawanan Liga Super di Stadium Perak, semalam. – UTUSAN/Mohd. Najib Mohd. Nor |
KUALA LUMPUR – Perak membuktikan bisa di gelanggang sendiri apabila membelasah Kelantan 4-0 pada perlawanan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh.
Kekalahan tersebut menyebabkan skuad Datuk M. Karathu terpaksa menyerahkan takhta liga kepada Selangor, yang menang 1- 0 ke atas Felda United di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Lebih malang kekalahan tersebut menyebabkan Kelantan tercicir ke tangga keempat di belakang Selangor, Perak dan Terengganu.
Pada pertembungan hangat di Ipoh, anak buah Norizan Bakar garang apabila meraih gol pembukaan seawal minit kelima menerusi gerakan solo Mohd. Fazrul Hazli Kadri.
Gol awal itu menyemarakkan pasukan tuan rumah sehingga menghasilkan jaringan kedua pada minit ke-29 menerusi kerja keras Akmal Rizal Ahmad Rakhli, yang melakukan hantaran dari sebelah kiri sebelum disambar Mohd. Shafiq Jamal yang menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.
Perak memadam semangat Kelantan melalui gol ketiga menerusi rembatan jarak jauh Akmal Rizal pada minit ke-80.
Pemain kontroversi, Razali Umar Kandasamy yang masuk selaku pemain gantian, menambahkan derita Red Warriors menerusi jaringan terakhir Perak, dua minit kemudian.
Fadzli Saari menjaringkan gol tunggal Selangor pada minit ke-31 bagi membolehkan Red Giant melakar kemenangan tipis ke atas Felda United, 1-0.
Di Stadium Sultan Ismail Nasirrudin Shah, T-Team kalah 0-1 kepada Terengganu menerusi Jaringan Abdul Hadi Yahya pada minit ke-47.
Sumber : Utusan
1 ulasan:
safee mengganas lagi
Catat Ulasan