KOTA BHARU - Juara Piala Malaysia musim lalu,  Kelantan terus menguatkan cengkaman sebagai peneraju Liga Super 2011  dengan mengukir kemenangan selesa ke atas Negeri Sembilan 3-0 di Stadium  Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, semalam.
Gol tuan rumah dijaringkan dua penyerang skuad negara, S. Chanturu  pada minit ke-47 disusuli dengan rembatan kencang Norshahrul Idlan  Talaha pada minit ke-74.
Selepas berbalas umpanan dengan Khalid Jamlus, Norshahrul menambah  koleksi gol peribadinya pada minit ke-80 melalui bola voli yang memukau  penjaga gol pelawat, Mohd. Farizal Marlias.Wira Merah bagaimanapun terpaksa membayar harga yang tinggi dengan  kemenagan tersebut apabila Chanturu dan Mohd. Ramzul Zahini  masing-masing terpaksa dikeluarkan pada minit ke-60 dan 63.
Sementara itu, Perak terselamat dengan gol penyamaan Mohd. Noor  Hazrul Mustafa pada minit ke-85 untuk menghampakan Harimau Muda A yang  mendahului menerusi Wan Zack Haikal Wan Noor pada minit ke-11.
Satu mata yang dikongsi dengan skuad bawah 22 tahun negara di Stadium Perak, Ipoh itu bagaimanapun menjadikan skuad Seladang kekurangan dua mata untuk menghambat Kelantan dari tempat kedua liga.
Terengganu pula melonjak mengekori Perak di tangga ketiga setelah menumpaskan Johor FC 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu hasil jaringan Abdul Hadi Yahya (7), Ismail Faruqi (12) dan Ashari Samsudin (77).
Abdul Hadi merembat masuk hasil hantaran jauh Ismail Faruqi sebelum  rakannya itu menyempurnakan sepakan bebas sejauh 40 meter diikuti  rembatan kencang Ashari ke penjuru gol kelab dari selatan itu.
Dengan menumpaskan Kedah 2-0 di Stadium Shah Alam, juara  bertahan Liga Super, Selangor turut melonjak ke tangga keempat sambil  diekori Felda United yang menundukkan T-Team 2-0 di Stadium Petaling Jaya.
Terengganu, Selangor dan Felda United masing-masing terikat 11 mata  tetapi kelebihan jaringan jelas menyebelahi Sang Penyu dengan 11 gol  berbalas enam yang dibolosi.
credit : utusan

Tiada ulasan:
Catat Ulasan