KOTA BHARU – Walaupun berjaya membenam Negeri Sembilan dengan kemenangan 3-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, malam semalam, namun masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki bagi pasukan Kelantan untuk menghadapi perlawanan liga seterusnya.
Pengurus Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim mengakui di sebalik kejayaan Kelantan berjaya mengutip tiga mata dalam perlawanan tersebut, namun pada masa yang sama, beliau tidak mahu pemainnya berpuas hati dengan kemenangan tersebut.
“Sudah pasti kita gembira dengan kemenangan ini, lebih-lebih lagi mengalahkan Negeri Sembilan di hadapan penyokong sendiri. Namun, saya tidak mahu pemain Kelantan mendabik dada mengatakan itu adalah persembahan terbaik kita setakat ini.“Kalau kita lihat pada separuh masa pertama, aksi pemain kita serba tidak menjadi dengan banyak hantaran tidak tepat dilakukan oleh pemain. Malah banyak gerakan kita mudah dipatahkan benteng pertahanan lawan. Mujur pasukan Negeri Sembilan tidak dapat menjaringkan gol awal, kalau tidak, keputusan perlawanan sudah pasti berbeza.
“Namun, tidak dinafikan gol pada awal babak kedua hasil jaringan S Chanturu berjaya merubah rentak permainan pemain kita dalam perlawanan tersebut. Hasilnya, corak permainan kita kembali agresif dan kita berjaya menjaringkan dua gol selepas itu,” katanya.
Mengulas mengenai persembahan pemain Kelantan secara keseluruhan dalam perlawanan itu, Azman mengakui persembahan yang ditunjukkan pemainnya tidak mencapai tahap kemampuan yang sebenar dimiliki sebagai pasukan bergelar juara bola sepak.
“Ada dua atau tiga pemain yang diturunkan masih belum mempunyai tahap keyakinan yang tinggi. Masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Perjalanan liga masih jauh kerana kita baru mengharungi enam perlawanan liga setakat ini.
Ditanya mengenai kecederaan yang dialami S Chanturu dan Muhammad Ramzul Zahini Adenan dalam perlawanan itu, Azman berharap situasi itu tidak memberi kesan kepada prestasi semasa pasukan Kelantan,
“S Chanturu mengalami kekejangan otot, tetapi saya percaya dia mampu pulih dalam masa terdekat. Cuma yang membimbangkan nasib Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) yang mengalami kecederaan hamstring. Dia mungkin perlu berehat sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan.
“Namun kita tidak mempunyai masalah kerana mempunyai pemain lain seperti Mohd Nizab (Ayub) Solehin (Kanasian Abdullah) malah S Chanturu juga boleh memikul tanggungjawab beraksi diposisi serangan,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan