17 Jan 2011

Kijang perlu masa

Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

KEHILANGAN mengejut tiga tonggak utama pada musim lalu masih dirasai juara Piala Malaysia 2010, Kelantan walaupun saingan Liga Super hanya berbaki dua minggu lagi untuk bermula.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa mengakui perkara itu dengan menjelaskan jurulatih skuad itu, B Sathianathan masih memerlukan masa untuk membentuk keserasian yang mantap di kalangan beberapa pemain muda bagi menggalas tugas pada musim ini.


Terbaru, skuad The Red Warriors itu tewas 1-0 kepada Kedah di Stadium Darulaman, Alor Setar pada aksi persahabatan Sabtu lalu selain beberapa keputusan yang tidak memberangsangkan sebelum ini.

“Walaupun sudah ada peningkatan, kesan yang ditinggalkan tiga pemain iitu masih dirasai,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan kedai peralatan sukan, Al Jabbar Sports Dot Com, petang semalam.


Kafa kehilangan tiga pemain iaitu Indra Putra Mahayuddin, Norfarhan Muhammad dan Azizi Mat Rose yang bertindak menyertai T-Team musim ini walaupun dilapor masih mempunyai kontrak dengan skuad The Red Warriors itu yang seterusnya membuat aduan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


“Kami akan menghantar afidavit hari ini bersama asas aduan dan dokumen seperti yang diminta FAM. Saya juga difahamkan pemain turut diberi peluang sama untuk memberikan alasan dan keputusan akhir hanya akan diketahui 26 Januari ini yang diputuskan oleh Jawatankuasa Status Pemain,” katanya.Menurut Annuar lagi, tuntutan Kafa adalah kerana merasakan perpindahan tiga pemain itu tidak mengikut peraturan ditetapkan.


“Saya mahu kelab, pemain dan pegawai mempunyai satu perasaan bertanggungjawab dan beretika terhadap peraturan sekiranya ingin memajukan bola sepak tempatan ke peringkat lebih tinggi,” katanya yang juga timbalan presiden FAM.

Terdahulu Annuar menerima tajaan berjumlah RM200,000 daripada Al Jabbar Sports Dot Com untuk skuad The Red Warriors pada musim ini.


“Penajaan ini pastinya akan menyuntik semangat kami untuk terus mencapai kejayaan,” katanya yang turut menjelaskan penaja utama skuad itu akan diumumkan pada Ahad ini dengan nilainya mencecah RM2 juta.

Tiada ulasan: