PERASAAN puas hati kini terpancar pada setiap wajah penyokong bola sepak Kelantan selepas berjaya menjulang buat kali pertama Piala Malaysia walaupun berdepan pelbagai masalah sebelum perlawanan seperti kenaikan harga tiket, penjualan tiket palsu, jarak perjalanan jauh dan harga bas yang melambung.
Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net), Marhasyim Mat berkata, ia hadiah paling bernilai dihadiahkan pemain Kelantan kepada penyokong yang memberikan sokongan padu sejak dua musim lalu.
“Sokongan kami bukan saja di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di Kota Bharu, malah pada setiap perlawanan dan stadium di seluruh negara sepanjang saingan Liga Malaysia berlangsung,” katanya ketika ditemui selepas majlis kesyukuran kelab itu yang turut dihadiri kira-kira 2,000 penyokong The Red Warriors di sekitar Lembah Klang.
Menurutnya lagi, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa turut mengotakan janji membawa sekurang-kurangnya satu piala ke Kelantan selepas sekadar naib juara Piala Malaysia dan Piala FA musim lalu.
“Kami harap kemenangan ini akan dapat meletakkan Kelantan sebaris dengan pasukan elit lain di negara ini serta menjadi pencetus mencipta lebih banyak kejayaan di masa depan.
“Selain mengharapkan Kelantan mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia, kami juga harap dapat menambahkan kejuaraan lain yang belum berada dalam genggaman seperti Liga Super dan Piala FA serta ingin menyaksikan The Red Warriors beraksi di kejohanan lebih tinggi seperti Piala Konfederasi Bola Sepak Malaysia (AFC),” jelasnya.
Mengenai sokongan penonton di perlawanan akhir itu, Marhasyim berkata, hampir 60,000 penyokong Kelantan membanjiri Stadium Nasional dan dia puas hati dengan sokongan diberikan kepada pemain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan