1 Nov 2010

Awan mendung landa Sathia

2010/11/01

SELEPAS berjaya dalam misi merangkul gelaran pertama buat Kelantan dalam tempoh 89 tahun, jurulatih B Sathianathan masih perlu menghadapi satu lagi ujian besar dalam kerjayanya - penggantungan enam bulan yang dikenakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) - kerana kelantangannya mempertikaikan badan induk itu.

Sathia yang diraikan di negeri Cik Siti Wan Kembang atas kejayaannya membimbing The Red Warriors menundukkan Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan akhir kelmarin, masih belum pasti akan masa depannya kerana hukuman itu menjadi ‘awan mendung’ yang menyelubungi masa depannya. 

“Saya tidak boleh berkata apa-apa mengenai masa depan saya memandangkan saya masih perlu menjalani penggantungan. Saya akan bercuti selepas ini sebelum duduk berbincang dengan Tan Sri (Annuar Musa, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan).
“Jika ditanya sama ada akan menandatangani kontrak, saya mahu memberitahu anda (wartawan), saya tidak pernah menandatangani sebarang kontrak, kami hanya berjabat tangan saja.

“Saya tidak mahu menandatangani kontrak kerana saya tidak mahu bebanan tekanan, mungkin selepas ini baru saya akan menandatangani kontrak,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan final kelmarin.

Keputusan untuk menggantung Sathia yang berkuat kuasa sehari sebelum separuh akhir kedua menentang Kedah, ditangguhkan bagi membolehkannya duduk di bangku simpanan pada perlawanan akhir, namun bekas pengendali kebangsaan itu masih perlu berdepan Jawatankuasa Rayuan pada tarikh yang bakal ditentukan nanti.


Bharian

Tiada ulasan: