12 Okt 2010

Tugas getir menanti The Red Warriors


Rekod Selangor dalam saingan Piala Malaysia tahun ini cukup digeruni pasukan lain yang bersaing dalam merebut piala paling berprestij  dinegara kita musim ini.

Apa tidaknya menang kesemua perlawanan peringkat kumpulan dan satu-satunya pasukan yang berjaya mengutip mata maksimum dalam kumpulan menceritakan kekuatan pasukan Selangor tahun ini.

Selangor juga telah 32 kali menjulang Piala Malaysia dan sinonim dengan Piala ini manakala Kelantan baru ingin ‘mencipta’ rekod kejuaraan.

Kelantan dilihat mempunyai tugas sukar untuk menumbangkan skuad yang diberi gelaran The Red Giant ini berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini.Ianya boleh diibaratkan meruntuhkan tembok besar China dan tugasan tersebut memerlukan pengorbanan besar dari pemain-pemain Kelantan.

Apa yang ‘mengembirakan’ sedikit penyokong-penyokong Kelantan adalah The Red Giant masih tidak mampu mengalahkan The Red Warriors musim ini kerana rekod pertemuan sebelum ini berkesudahan seri 0-0 di Kota Bharu dan 1-1 di Shah Alam..

Harapan The Red Warriors tampak tipis untuk menewaskan Selangor dan hakikat ini perlu diterima oleh penyokong-penyokong Kelantan seandainya pemain-pemain tidak mempamerkan aksi memberangsangkan serta memberikan komitmen seratus peratus.

Tunjang utama kejayaan Kelantan adalah berdasarkan persembahan pemain tengah serta pakar sepakan percuma iaitu Badri Radzi dan dibantu  Shakir Shaari yang dilihat telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam dua perlawanan terakhir peringkat kumpulan..

Jika salah seorang dari pemain ini tidak memberikan persembahan menyakinkan semasa bertemu Selangor nanti penyokong-penyokong bolehlah melupakan hasrat untuk membawa pulang Piala Malaysia ke Kota Bharu kerana inspirasi dari kedua pemain ini amat diperlukan untuk merencanakan hantaran-hantaran menarik untuk penyerang.

Walaupun Badri dilaporkan mengalami kecederaan,kita masih berharap beliau dapat diturunkan dan seterusnya membantu Kelantan.

Dibahagian pertahanan kehadiran semula Rizal Fahmi ternyata memberikan kelebihan buat Kelantan kerana beliau telah menunjukkan prestasi yang cukup memberangsangkan serta berjaya memikul tanggungjawab yang diberikan selepas mengambil tugas dari Subramaniam yang terpaksa direhatkan oleh B.Sathianathan.

Kunci kejayaan Kelantan ketika bertemu Selangor nanti adalah terletak pada kecemerlangan pemain-pemain pertahanan seperti Daudsu,Zairul Fitri,Rizal Fahmi,Azizi Matt Rose,Farisham serta penjaga gol Khairul Fahmi kerana jika Kelantan berjaya mencuri satu mata dan mengelakkan gol dari dibolosi kelebihan sudah pasti memihak Kelantan.

Oleh itu perhatian harus diberikan kepada penyerang berbisa Selangor Amirul Hadi,Amri Yahyah,Safee Sali dan R.Surendran yang telah membuktikan kejaguhan mereka dengan merobek pintu gol lawan.

Dibahagian serangan pemain lincah Kelantan kelahiran Terengganu NorSahrul Idlan Talaha dikhabarkan kurang cergas dan ‘mungkin’ tidak diturunkan merencatkan bahagian serangan Kelantan kerana kelincahan serta kecerdikan beliau amat diperlukan bagi memberi ruang kepada Indra serta penyerang lain menghasilkan gol Kelantan.Kehilangan beliau amat dirasai oleh bahgian serangan Kelantan dan kita berharap beliau dapat diturunkan.

Kekuatan utama Kelantan juga terletak pada kesetiaan penyokong-penyokong yang sanggup kemana-mana venue untuk memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada pasukan dan sehinggakan dinobatkan penyokong bolasepak NO 1 di Malaysia.

Ayuh sama-sama kita gegarkan stadium Shah Alam dan tenggelamkan lautan kuning dengan sorakan GOL…GOL…GOL dan Gomo Kelate Gomo!!!

Kesebelasan Utama pilihan

Khairul fahmi, Azizi, Rizal, Farisham, Ropi, Piya, Shakir, Indra, Farhan, Shahrul, Akmal

Tiada ulasan: