20 Okt 2010

Selangor, Kelantan kena denda

Oleh Harris Rajahdin
harajah@bharian.com.my
2010/10/20

SELANGOR dan Kelantan terlepas hukuman berat berikutan insiden keganasan yang membabitkan kedua-dua pasukan dalam suku akhir pertama minggu lalu apabila masing-masing terselamat daripada penggantungan, sebaliknya hanya dikenakan denda.

Namun, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JPKT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mungkin tidak akan berlembut lagi sekiranya insiden penyokong membaling mercun dan objek bahaya, bergaduh berulang lagi, terutamanya membabitkan pasukan sama selepas ini. 

Pada mesyuarat JPKT yang berlangsung dua jam setengah di Wisma FAM selepas mengambil kira hujah kedua-dua pihak, Selangor dan Kelantan masing-masing dikenakan denda RM50,000 dengan Selangor sebagai tuan rumah dikenakan tambahan RM10,000 atas tahap kawalan keselamatan longgar di Stadium Shah Alam.  

Kedua-dua pasukan juga diminta untuk berkongsi membayar kerosakan harta benda di stadium, antaranya kerusi dicabut dan dibaling ke kawasan permainan, berjumlah RM15,000. Secara keseluruhan, Selangor menanggung denda RM67,500 manakala Kelantan terpaksa mengeluarkan RM57,500.

Mesyuarat yang bersidang semalam juga unik dengan ahli jawatankuasa, Omar Othman, yang juga Naib Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mempengerusikannya dengan Pengerusi, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Timbalan Pengerusi, Datuk Affandi Hamzah masing-masing dikecualikan kerana menjadi pihak berkepentingan dalam kes ini, atas jawatan mereka sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor dan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan.

“Kami sudah membincangkan sama ada hukuman yang dikenakan boleh dijadikan pengajaran. Bermula daripada sekarang, tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pasukan yang melanggar peraturan termasuk tindakan menggantung perlawanan,” kata Omar pada sidang akhbar selepas mesyuarat. 

Tiada ulasan: