KOTA BHARU - Kelantan dijangka berdepan laluan sukar apabila bakal turun tanpa tiga tonggak utamanya yang mengalami kecederaan untuk bertemu Selangor pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Shah Alam, malam ini.
Ketua jurulatih B. Sathianathan berkata, ketiga-tiga tonggak yang dimaksudkan itu ialah peledak sensasi kebangsaan Nor Shahrul Idlan Talha, perancang utama, Mohd. Badri Radzhi serta pertahanan kental, Azizi Mat Rose.
"Saya masih belum dapat pastikan sama ada mereka boleh diturunkan atau tidak semuanya bergantung pada keputusan pegawai perubatan esok (hari ini).
"Walaupun tanpa kelibat mereka, saya tetap yakin kepada barisan yang ada mampu memberikan sesuatu buat pasukan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Tambahnya, beliau menganggap perlawanan tersebut seperti 'perlawanan akhir yang diawalkan'.
"Ia berdasarkan kepada reputasi kedua-dua pasukan yang cukup hebat ketika ini. Bagi saya ia satu perlawanan yang sukar diramal.
"Berdepan dengan Juara Liga Super bukanlah satu tugas yang mudah. Ditambah dengan aksi konsisten yang ditunjukkan mereka dan masih lagi mengekalkan rekod tanpa kalah pada saingan Piala Malaysia kali ini," ujarnya.
Sathianathan memberitahu, tekanan perlawanan tersebut akan dirasai oleh kedua-dua pasukan.
"Jangan anggap Kelantan sahaja tertekan, bagi saya Selangor juga akan turut merasai bahang yang sama kerana mereka bermain di laman sendiri.
"Jadi saya harap pemain dapat kekalkan prestasi mereka sebaik mungkin dan kita tidak akan memberikan laluan mudah buat Selangor pada perlawanan tersebut," tegasnya.
Jelasnya, pada perlawanan malam ini dia mengharapkan khidmat pemain ke-12 iaitu penyokong setia The Red Warriors untuk terus meniupkan semangat buat para pemain.
"Saya harap para penyokong datang beramai-ramai untuk memberikan sokongan padu buat para pemain dalam memastikan kelebihan jaringan dapat dibawa pulang ke Kota Bharu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan