13 Okt 2010

Kekecohan di Stadium Shah Alam

Menonton perlawanan bolasepak seolah-olah berada di medan perang. Bunyi mercun macam bunyi senjata tempur, kemudian dicabutnya kerusi dan dibaling. Tidak cukup dengan itu botol air minuman juga beterbangan.

Lebih parah lagi ada yang jahat, mereka buang air kecil dalam botol air minuman kemudian baling kepada penyokong lawan. Saya tidak perlu cakap penyokong pasukan mana baling kepada pasukan mana kerana bimbang berlaku balas dendam di masa akan datang.

Apa yang berlaku di Stadium Shah Alam malam tadi, tidak boleh nak dikatakan siapa yang bersalah. Penyokong kedua-dua pasukan semuanya bersalah. Penyokong Selangor pun boleh tahan, manakala penyokong Kelantan pula panas baran.

Ejek mengejek atau provok memprovok adalah perkara biasa dalam kita menonton bolasepak. Jika semua orang boleh terima ejekan ianya tidak menjadi masalah. Tetapi oleh kerana ada orang-orang yang memang tak boleh tahan dengan perkara itu mulalah tercetus masalah. Apabila satu atau dua orang mula, maka ianya mulalah merebak.

Dalam kejadian malam tadi saya lebih salahkan kepada penganjur perlawanan. Mereka semua bukan tak tahu setiap kali perlawanan antara Kelantan dan Selangor ianya mesti akan menjadi masalah. Mereka tidak mengambil pengajaran daripada apa yang terjadi di masa lepas.

Penyokong antara kedua pasukan dipisahkan dengan dua blok kerusi kosong di bahagian penyokong Selangor. Manakala penyokong Kelantan rapat ke pagar sebelah kanan. Jarak lebih kurang 20-30 meter. Lebih lucu lagi garis pemisah hanya diletakkan tali lilitan. Apabila berlaku ejek mengejek maka penyokong Selangor mulalah menghampiri penyokong Kelantan. Kemudian meletuslah perang. Habis segala benda terbang, termasuklah air kencing.

Sepatutnya penganjur mengosongkan terus di ruangan pagar tengah dimana terletaknya 'score board'. Apabila kawasan itu dikosongkan maka jarak pemisah antara penyokong lebih kurang 70-80 meter. Apabila jarak jauh , maka ketegangan pun akan berkurangan.

Selesai sahaja perlawanan dalam stadium, langkah sahaja keluar maka mulalah mereka berperang di luar. Sungguh cepat perkara itu berlaku, tiba-tiba datang satu kereta peronda polis dengan siren dan tangkap seorang pencetus masalah yang telah diperhatikan oleh seorang polis yang berpakaian preman.

Kemudian mereka pakat kejar kereta polis pula, pecah cermin kereta polis dikerjakannya. Lebih malang lagi ada yang baling mercun ke kereta polis. Selesai disitu mereka kejar pula anggota polis yang berpakaian preman.

Tidak habis disitu, dibahagian depan bertempur pula. Kali ini penyokong Kelantan di luar pagar dan penyokong Selangor di dalam pagar. Kebetulan pula mana datang buluh sesat dua tiga batang dan ianya dijadikan senjata. Bukan setakat buluh, anak-anak batu pun jadi senjata. Habis gerai-gerai orang jual cenderamata bertaburan akibat pergaduhan.

Apa-apa pun tahniah diucapkan kepada PDRM kerana berjaya mengawal keadaan pada malam tadi dan saya lihat dengan mata saya sendiri polis lebih banyak berdiplomasi dengan penyokong-penyokong walaupun mereka kelihatan agak agresif. Adalah yang keras-keras kepala kena tangkap beberapa orang.














blog bicara faisal

Tiada ulasan: