KOTA BHARU -- Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memberi jaminan akan meningkatkan tahap keselamatan di Stadium Sultan Muhammed IV di sini, menjelang suku akhir kedua Piala Malaysia Kelantan menentang Selangor, esok.
Ketua Pegawai Eksekutif KAFA, Tuan Hashim Tuan Yaacob berkata, lebih 500 anggota keselamatan ditugaskan, esok bagi mengelak kejadian buruk sepanjang perlawanan tersebut berlangsung.
Katanya, pemeriksaan ketat juga akan dilakukan di setiap pintu masuk bagi memastikan mercun dan bunga api tidak dibawa masuk ke stadium.
"Kita beri jaminan akan membuat pemeriksaan lebih ketat berbanding sebelum ini dengan mendapat kerjasama daripada pasukan polis, pasukan polis simpanan (FRU) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela)," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Sementara itu di Kuala Lumpur, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzudin Ahmad berkata, kekecohan yang berlaku di Stadium Shah Alam, kelmarin bukanlah disebabkan kawalan keselamatan yang longgar.
Katanya, bilangan pegawai keselamatan pada perlawanan tersebut sudah mencukupi selepas membuat anggaran antara 45,000 hingga 50,000 penonton yang akan hadir dan sebelum perlawanan juga mesyuarat pelarasan sudah diadakan.
"Kita sudah mengambil kira daripada aspek keselamatan namun apabila insiden tersebut jadi, ia tetap akan terjadi, ia adalah asam garam dalam sukan bola sepak, terutama sekali perlawanan yang melibatkan Selangor dan Kelantan," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Media dan Hubungan Luar FAM semalam.
Jelasnya, sebelum perlawanan berlangsung persatuan negeri sudah pasti menasihatkan penyokong mereka agar tidak menimbulkan kekacauan namun ia tetap berlaku, laporan dari semua pihak juga akan dijadikan rujukan untuk sebarang tindakan.
"Ia juga berlaku bukan disebabkan keseluruhan penyokong kedua-dua pasukan, sebaliknya segelintir daripada mereka, FAM akan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.
Dalam pada itu, Tuan Hashim turut menasihatkan orang ramai agar tidak membawa kanak-kanak berusia kurang daripada dua tahun ke dalam stadium bagi menjamin keselamatan mereka.
Tambahnya, kesemua 13 pintu masuk ke stadium itu akan dibuka seawal pukul 6.30 petang bagi membolehkan penonton memasuki stadium lebih awal sekali gus mengelak perkara yang tidak diingini.
Jelasnya, orang ramai boleh mendapatkan tiket yang dijual dengan harga RM15, RM20 dan RM30 bermula 10 pagi pada hari perlawanan bagi mengelak kesesakan ketika masuk ke stadium.
Pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Shah Alam, Selangor kelmarin, seorang penyokong Kelantan meninggal dunia akibat sesak nafas selepas perlawanan tamat yang menyaksikan penyokong bertindak ganas di dalam dan luar stadium.
Pada perlawanan tersebut, Kelantan sekadar mampu seri tanpa jaringan dengan Selangor dan pelbagai pihak mula bimbang kemungkinan insiden lebih buruk berlaku menjelang pertemuan kedua di Kota Bharu, Jumaat ini.
utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan