KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meminta tuan rumah  perlawanan pertama Piala Malaysia supaya meningkatkan kawalan  keselamatan venue masing-masing, memandangkan ia berlangsung pada musim  perayaan. 
Perlawanan pertama Piala Malaysia akan berlangsung pada 14 September ini, ketika umat Islam masih merayakan Aidilfitri. 
Timbalan Presiden FAM, Tan sri Annuar Musa berkata, ketika itu kebanyakan penyokong setia masih berada di kampung halaman masing- masing.
Katanya, mereka akan mengambil kesempatan untuk membanjiri stadium bagi menyaksikan pasukan mereka beraksi. 
Pada masa yang sama, beliau juga melahirkan kebimbangan jika penonton  membawa masuk mercun ke stadium, kerana ia akan memberikan kesan  negatif. 
"Antara yang perlu diberikan perhatian mereka yang membawa masuk  mercun ke dalam stadium, kita tahu sebelum ini pernah berlaku insiden  yang membawa kemalangan terutama di stadium yang mempunyai kapasiti  penyokong yang tinggi.
"Adalah sangat berbahaya kalau ada percubaan sedemikian, walaupun mungkin untuk tujuan berseronok.
'' Kita minta kerjasama polis, stadium dan tuan rumah supaya memberi  perhatian khusus dalam aspek keselamatan," katanya pada sidang akhbar di  sini, semalam. 
Annuar turut menyeru penyokong dan peminat supaya memberikan  kerjasama, dengan tidak membawa bahan yang dilarang ke dalam stadium.
Katanya, pihak keselamatan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mana-mana individu yang membawa mercun ke dalam stadium.
Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan di antara buku dan ruas,  Kelantan menentang Negeri Sembilan di Kota Bharu, beliau yang juga  Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkata, pihaknya akan  meningkatkan kawalan keselamatan pada perlawanan tersebut.
Menurutnya, pertembungan tersebut akan menjadi tumpuan peminat Red Warriors, kerana ia merupakan ulangan final Piala Malaysia musim lalu. 
"Kita jangkakan stadium akan penuh. Sekiranya ini berlaku, beberapa  perkara ingin saya nyatakan. Pertama, kita harap penyokong faham kita  tidak boleh benarkan terlalu ramai penyokong berada dalam stadium. 
"Ini adalah salah satu daripada langkah keselamatan, kita akan  berhenti dari menjual tiket-tiket bila mencapai satu jumlah yang kita  fikir boleh ditampung oleh stadium," katanya. 
Jelasnya, penjualan tiket akan bermula pada pukul 10 pagi pada hari perlawanan di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan