20 Sep 2010

Hormati KL Plus: Sathianathan


Sinar Harian

KOTA BHARU – Dengan saingan kumpulan A TM Piala Malaysia dilihat lebih terbuka, Kelantan yang kembali menemui rentak kemenangan berhasrat menjadikan sebuah lagi pasukan berstatus kelab, KL Plus FC sebagai mangsa terbaru dalam perlawanan di Stadium Sultan Mohammed IV, Kota Bharu malam ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan berkata, walau bagaimanapun, beliau tetap menghormati kemampuan pasukan kelab itu yang disifatkan boleh melakukan kejutan tidak diduga.

“Walaupun permulaan yang tidak begitu baik bagi mereka (kekalahan 0-1 kepada Selangor PKNS FC), tetapi keupayaan mereka memaksa Negeri Sembilan seri di Seremban tempoh hari merupakan perkara yang perlu saya ambil serius,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Mereka berupaya menjadi penghalang kepada cita-cita kita mengutip tiga mata. Saya hormati pasukan ini yang ada ramai pemain berpengalaman seperti Norhafiz Zamani Misbah, Irwan Fadli Idrus dan Mohd Fadzli Shaari," katanya.

Sathianathan berkata, beliau mengharapkan kebangkitan anak buahnya dalam perlawanan ketiga malam ini.

“Pemain perlu membuktikan keupayaan sebenar pada perlawanan ini. Memang dalam dua perlawanan terdahulu prestasi mereka tidak mencapai tahap seperti yang saya kehendaki. Tetapi berlaku sedikit peningkatan kalau dilihat pada perlawanan menentang Selangor PKNS FC tempoh hari.

“Saya mahu pemain saya tunjukkan keupayaan sebenar seperti mana yang mereka buktikan sepanjang saingan Liga Super yang lalu. Saya akui faktor rehat yang panjang selama lima minggu, latihan singkat sepanjang bulan Ramadan serta hanya sempat mengadakan tiga perlawanan persahabatan memberi kesan kepada persembahan pemain setakat ini," katanya.

Sathianathan berkata, Kelantan tidak mempunyai pilihan selain perlu menundukkan pasukan yang berpangkalan di Lembah Kelang itu bagi mengukuhkan kedudukan dalam saingan peringkat kumpulan A.

“Semua pasukan sekurang-kurangnya mahu mencatatkan keputusan seri apabila beraksi di Kota Bharu. Seboleh-bolehnya mereka mahu mengamalkan corak permainan bertahan. Bila mereka bermain dengan corak seperti ini, kita pula menjadi sukar untuk menembusi pintu gol pasukan pelawat. Apa pun, saya mempunyai strategi tersendiri untuk memastikan kita mengutip tiga mata malam ini.," katanya.

Rekod pertemuan dalam Liga Super musim ini, membabitkan pertemuan Kelantan dengan KL Plus FC berpihak kepada Kelantan di mana The Red Warriors berjaya mencatatkan kemenangan 3-0 di Kelana Jaya dan menang 4-1 di Kota Bharu penghujung bulan Julai yang lalu.

Sementara itu Ketua pasukan Kelantan, Indra Putra Mahayuddin terus menjadi pemain paling berpengaruh di atas padang bagi menjana kemenangan pasukan Kelantan dalam perlawanan menentang KL Plus FC malam ini.

B Sathianathan berkata, peranan penting bekas pemain kebangsaan itu akan terus ditagih bagi memberi perangsang kepada rakan sepasukan dalam membentuk gandingan yang mantap dalam perlawanan ini.

“Walaupun Indra (Putra Mahayuddin) gagal menjaringkan gol dalam dua perlawanan terdahulu, tetapi itu tidak bermakna beliau tidak berupaya menyumbang kepada kebangkitan Kelantan.

“Saya juga mengharapkan sentuhan penjaring gol tunggal dalam pertemuan Selangor PKNS FC, Akmal Rizal Ahmad kembali bangkit menunjukkan persembahan cemerlang. Saya percaya beliau mampu beraksi lebih baik daripada apa ditunjukkan sekarang,” katanya.

Tiada ulasan: