23 Ogo 2010

Undian liga kelab Sabtu ini


KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan mengadakan satu majlis pengundian pasukan yang akan menyertai Kejohanan Liga Antara Kelab bertempat di Wisma Kafa pada Sabtu ini.

Penolong Setiausaha Agung Kafa, Arif Hassan berkata, kejohanan yang pertama kali dianjurkan Jawatan Kuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Kafa itu dijangka bermula pada pertengahan September depan.

“Setakat ini, sebanyak 35 pasukan telah mengesahkan tempat mengambil bahagian dalam kejohanan yang dilangsungkan secara liga ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Untuk itu, bagi melicinkan proses pengundian pasukan, kita hanya membuka penyertaan kepada mana-mana pasukan lain yang masih berminat untuk menyertai kejohanan itu setakat hari ini (23 Ogos) sahaja. Jadi mana-mana pasukan yang masih berminat, boleh menghubungi pihak Kafa bagi urusan pendaftaran pasukan pada hari ini.

“Majlis pengundian akan dilangsungkan di Wisma Kafa, Kampung Chicha pada jam lima petang hari Sabtu ini. Sehubungan dengan itu, kita menjemput dua wakil iaitu pengurus pasukan dan jurulatih daripada setiap pasukan terbabit hadir ke majlis pengundian itu,” katanya.

Arif berkata, kejohanan liga antara kelab itu dianjurkan bagi memberi peluang kepada peminat bola sepak di negeri ini bermain di peringkat lebih tinggi lagi.

“Penganjuran kejohanan ini merupakan sebahagian kejohanan yang dianjurkan oleh pihak Kafa sempena Tahun Bola Sepak Kelantan (TBSK ) pada tahun ini selain kejohanan Piala Kijang Muda, baru-baru ini.

Sementara itu, Arif berkata, majlis pengundian tersebut akan turut diselitkan dengan majlis berbuka puasa dalam kalangan wakil pasukan terbabit bersama dengan Kafa.

“Kita memahami mungkin ada wakil pasukan yang datang dari jauh seperti Machang atau Kuala Krai. Jadi sudah pasti mereka kesuntukan masa untuk pulang berbuka puasa sejurus majlis pengundian berakhir.

“Sehubungan dengan itu, Kafa menganjurkan majlis berbuka puasa secara ringkas bersama-sama dengan kesemua wakil pasukan terbabit,” katanya.

Kejohanan Liga Antara Kelab kali ini menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 kepada juara, manakala naib juara menerima RM7,000. Sementara pemenang tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima RM3,000 dan RM1,000.

Ehsan : Sinar Harian

Tiada ulasan: