smriduan@nstp.com.my
NAIB juara Piala Malaysia musim lalu, Kelantan tidak akan membiarkan bulan puasa dan ibadat umrah yang akan dikerjakan bulan ini menghalang impian mereka untuk terus mengejar trofi berprestij berkenaan apabila saingan bermula selepas Aidilfitri.
Jurulatihnya, B Sathianathan berkata, walaupun pemain hanya akan pulang daripada mengerjakan umrah 28 Ogos ini, mereka sudah diberikan ‘kerja rumah’ bagi memastikan kecergasan berada pada tahap yang dikehendaki
“Sebaik pulang, saya akan mengadakan ujian kecergasan dan mana-mana pemain yang tidak mencapai tahap yang ditetapkan, akan dikenakan denda, malah boleh digugurkan,” kata Sathia ketika dihubungi, semalam.
“Kami sudah melakukan yang terbaik sepanjang kempen Liga Super musim ini, dengan hanya tewas sekali, tetapi kerana banyak keputusan seri dan mata penuh hanya banyak dikutip semasa pusingan kedua, sudah terlambat untuk mengejar Selangor.
“Bagaimanapun saya yakin, pemain Kelantan masih dahagakan kejuaraan dan keazaman mereka itu pasti akan ditampilkan sebaik saingan Piala Malaysia bermula.”
Kelantan belum pernah menjuarai Piala Malaysia selepas tiga kali beraksi pada final – 1955, 1970 dan 2009.
Sathia menganggap, skuad Kelantan kali adalah yang terbaik pernah dikumpul, dan dia tidak melihat sebarang masalah buat pasukan itu untuk melepasi peringkat kumpulan apabila undian dijalankan, Sabtu ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan