8 Ogo 2010

Bukan omong kosong


KOSMO! AHAD: Tahniah di atas kejayaan memenangi jawatan Timbalan Presiden FAM. Ini mungkin satu berita gembira bagi ramai pihak kerana Tan Sri antara calon pilihan.

Annuar: Terima kasih. Maksud gembira itu kerana usaha menawarkan diri mendapat sambutan bukan gembira kerana memenangi jawatan tersebut. Selepas memenangi jawatan ini, terhidang cabaran kerja yang sangat besar. Kegembiraan saya bercampur rasa bimbang kerana tugas yang ada itu sangat berat untuk dipikul. Lebih penting lagi ia bakal dinilai masyarakat dan ahli-ahli gabungan yang memilih kita. Saya fikir ini satu tugas yang saya buat penuh kerelaan dan saya ingin melakukannya dengan cara yang terbaik.

Sebagai Timbalan Presiden FAM, bagaimana Tan Sri melihat peranan yang boleh dimainkan dan ramai menganggap ia jawatan yang popular?

Pada pandangan saya, FAM perlu ditadbir secara kolektif. Saya tahu FAM ada susur galurnya, ada Presiden dan Timbalan Presiden. Saya Timbalan Presiden kedua. Saya tahu itu merupakan satu tekanan tetapi ia tidak menjadi masalah. Pokok pangkalnya, kita perlu bekerja sebagai satu pasukan. Tinggal lagi, saya terpaksa memainkan peranan supaya 'pasukan ini' bergerak mengikut kelajuan dan membuat keputusan yang sewajarnya. Kita bukan duduk di situ untuk populariti dan popular sebab kalau tiada prestasi tetap tidak akan popular. Populariti mungkin sementara, akhirnya popular atau tidak, adalah berjaya atau tidak. Itu bakal disaksikan semua, sebab itu saya tiada agenda sendiri. Idea yang ada adalah untuk saya kemukakan kepada ahli majlis FAM, kalau ia diterima maka kita akan laksanakan bersama.

Berada di dalam FAM bermakna perlu bersedia untuk menerima cemuhan. Bagaimana Tan Sri melihat jawatan Timbalan Presiden sebagai suatu yang mencabar?

Cabarannya begini. Pertama kerana sistem yang terwujud dalam FAM ini nampak agak unik. FAM merupakan satu badan bola sepak negara tetapi pada masa yang sama ia perlu bertindak dalam ruang lingkup yang tidak terpisah. Maksudnya FAM perlu berupaya membentuk satu jalinan yang berkesan, pertamanya dengan kerajaan, kedua dengan badan-badan swasta dan ketiga dengan peminat itu sendiri.
Hubungan yang bagaimana FAM perlukan daripada kesemua pihak tersebut untuk memajukan bola sepak negara?

Pertama, FAM wajib dapat meyakinkan kerajaan untuk memberikan apa-apa yang diperlukan dalam proses pembangunan. FAM mesti membuktikan keupayaan untuk meyakinkan kerajaan supaya jadikan bola sepak sebagai agenda nasional kerana programnya melibatkan remaja, satu kelompok yang besar seperti sekolah, murid-murid dan prasarana.

Apa-apa yang kurang menyebabkan tidak terpikul oleh hanya sebuah persatuan sukan. Peranan FAM itu lebih kepada membuat kerangka kasar, mengadakan program dari sudut teknikal dan dasar-dasar umum tetapi peringkat pelaksanaannya, kerajaanlah yang akan mampu melakukannya.

Badan-badan korporat juga perlu memainkan peranan kerana bola sepak tidak hanya mampu ditadbir oleh sebuah persatuan. Di sini FAM perlu membuktikan kewibawaan untuk meyakinkan syarikat-syarikat supaya tampil memainkan peranan yang lebih tersusun.

Sebagai satu acara sukan, bola sepak sudah tentu tidak dapat lari daripada mendapat sokongan peminat. Situasi yang ada kini berlaku sebaliknya. Apa yang harus FAM lakukan?

Seperti yang saya katakan, FAM perlu membuktikan kewibawaan terlebih dahulu. Perubahan mesti ada. Kalau kita tidak bina liga yang berkualiti, suasana sukan yang menarik, kita tak boleh memaksa orang masuk stadium sebab ia perlu dibayar.

Orang akan bayar hak penyiaran kalau bola sepak kita menarik, orang akan bayar tiket masuk stadium kalau pemain kita beraksi dengan baik. Kerajaan juga akan bagi duit kalau program kita bagus. Semua ini tanggungjawab permulaan yang perlu dipikul FAM.

Saya fikir, saya nak mencari jalan untuk membentuk satu hubungan yang baru untuk semua ini. FAM tidak boleh lagi bekerja secara ad-hoc dan sendirian. Kena cari satu kaedah supaya FAM diurus tadbir dengan cara yang cukup wibawa tinggi. Apabila itu dapat dilakukan, yang lain akan lebih mudah.

Tan Sri yakin kehadiran Tan Sri mampu merubah keadaan?

Saya cuba. Cara saya, kalau saya fikir nak sebut apa-apa saya akan sebut. Kalau saya rasa ada pendapat, saya akan kemukakan tetapi biarlah pada tempat yang betul dan dengan cara yang betul. Apa yang pasti, saya fikir adalah satu kesilapan yang besar kalau FAM bersikap status quo. Signal sudah jelas daripada peminat bola sepak.

Prestasi kita juga sudah jelas, kita tak boleh nak berselindung diri. Apapun orang kata, peminat-peminat lebih tahu di mana letaknya bola sepak kita. Sebab itu, pada saya berubah adalah wajib. Jadi, kalau kita mengelak untuk melakukan perubahan atas apa juga sebab, ertinya kita dalam masalah.

ANNUAR (tengah) menandatangani plak perasmian kedai peralatan sukan Ambro di Jalan Mahmood, Kota Bharu pada 26 Julai lalu.


Saya menawarkan diri kerana yakin FAM memerlukan perubahan tetapi perubahan tidak semestinya dibawa oleh seorang individu. Pada saya semuanya bergantung kepada pasukan atau barisan kepimpinan yang ada. Saya berani menyatakan kesemua yang dipilih baru-baru ini termasuk Duli Yang Maha Mulia Tuanku Presiden sudah bersiap untuk melakukan perubahan.

Cabaran yang perlu dipikul FAM adalah menjadikan bola sepak agenda nasional. Sejauh mana bola sepak dapat memainkan peranan selain daripada salah satu cabang sukan?

Tuanku Presiden (Sultan Ahmad Shah) telah bertitah dalam ucapan baginda baru-baru ini, menyatakan bola sepak negara tidak akan ke mana kalau ia tidak dijadikan agenda nasional. Itu kenyataan yang cukup kuat. Tinggal lagi bagaimana kita hendak bekerja untuk menjadikan ia agenda nasional. FAM sendiri perlu menterjemahkan apa yang dimaksudkan dengan agenda nasional. Kalau dalam kerangka konsep 1Malaysia, sukan adalah satu alat yang cukup kuat.

Kita tengok bagaimana (bekas Presiden Afrika Selatan) Nelson Mandela menjadikan Piala Dunia sebagai spring board dalam proses pembinaan bangsa Afrika.

Betapa ia suatu alat yang begitu berkuasa sekali. Kenapa kita tidak boleh tengok dalam pendekatan yang sama menyatupadukan bangsa Malaysia, mewujudkan kecergasan rakyat. Itu yang FAM perlu lakukan dan terjemahkan dalam bentuk kerangka-kerangka supaya kerajaan tidak samar lagi. Kita kena bagi input kepada kerajaan.

Tiada ulasan: