19 Apr 2010

Sathia lega Kelantan bangkit

KOTA BHARU - Selepas mempamerkan aksi yang tidak menentu pada musim ini, finalis Piala Malaysia musim lalu, Kelantan bangkit mencipta kejutan apabila menewaskan juara Piala FA Negeri Sembilan 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, kelmarin.

Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan menghamburkan pujian kepada para pemainnya yang bangkit dengan semangat luar biasa, walaupun sering dikritik ekoran aksi terumbang ambing.

Menurutnya, pada awal permainan kelmarin, Kelantan terpaksa bertahan, apabila anak buah Wan Jamak Wan Hassan mengatur gerak yang berbahaya.

Namun, benteng Kelantan yang diterajui Azizi Mat Rose begitu tenang mematahkan asakan.
"Tempoh 20 minit pertama diasak oleh sebuah pasukan yang digeruni sudah cukup untuk membuatkan strategi pasukan menjadi tidak menentu.

''Namun, kami mampu bertahan dan kemudian menyerang dengan mendapatkan gol."Menewaskan sebuah pasukan seperti Negeri Sembilan di gelanggang mereka bukan sahaja memberi tiga mata penuh.

''Lebih dari itu, ia satu kejayaan moral sebagai bekal untuk mengharungi perlawanan yang akan datang," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, beliau percaya Kelantan musim ini adalah sebuah pasukan yang baru, dibentuk dengan 'adunan' baru dan ini adalah permulaan kepada Kelantan untuk mengharungi baki saingan liga.

Pada perlawanan kelmarin, Kelantan mengejutkan Negeri Sembilan hasil jaringan ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin, sebelum Daudsu Jamaluddin menambah satu lagi jaringan.Badri Radzi melengkapkan malam gemilang Kelantan dengan jaringan ketiga.Negeri Sembilan mendapatkan gol saguhati melalui Shukor Adan.

Mengulas mengenai barisan penyerangnya menemui penyudah tajam, Sathianathan berkata:
"Saya meletakkan Norshahrul (Idlan Talaha) sebagai penyerang tunggal dan dia banyak menghuru-harakan benteng Negeri Sembilan.

"Dalam satu-satu pasukan, siapa yang menjaringkan gol tidak penting, kemenangan pasukan paling utama. Malam semalam (kelmarin) kami membuktikannya," jelasnya.

Beliau turut memuji persembahan penjaga gol ketiga Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, yang beraksi cemerlang kelmarin.

"Dia (Khairul Fahmi) seorang pemain muda yang berbakat dan saya tidak nampak dia tidak mampu pergi jauh dalam bola sepak.

"Saya selalu berpesan supaya berusaha dan jangan bagi orang ambil tempat kita. Peluang sudah terhidang dan guna peluang untuk buktikan kemampuan," ujarnya.

1 ulasan:

farra ramli berkata...

spatutnya sathia xpatut lega ag..baru first game after rehat pjg..ag pon,mybe gak kita leh beat n9 hari tu sbb diorg still letih or dlm mood gembira mng FA cup lepas..nway,hope kelate dpt keep it the good job like last saturday..GKG~~