14 Apr 2010

Perhitungan Sathianathan-Wan Jamak

 

KOTA BHARU – Ada ujian yang lebih besar menanti pengendali Kelantan, B Sathianathan apabila berhadapan dengan Negeri Sembilan dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Sabtu ini.

Pastinya, prestasi skuad Rusa kian memuncak setelah kejayaan menjulang Piala FA menewaskan Kedah menerusi tendangan penalti 5-4 tempohari.

Keghairahan Negeri Sembilan pasti menjelma apabila melayan kunjungan The Red Warrior’s hujung minggu ini.

Bagi Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan, merupakan antara jurulatih yang paling berjaya pernah membimbing skuad Negeri Sembilan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Selepas penyingkiran jurulatih, Hatem Soussi penghujung tahun 2007, khidmat Wan Jamak Wan Hassan yang sebelum itu berkhidmat dengan Syarikat Air Johor (SAJ) pantas disambar oleh Negeri Sembilan bagi mengisi kekoso-ngan itu.

Kejayaan membawa pulang Piala Malaysia ke Seremban selepas 61 tahun dan terbaru menjulang trofi Piala FA dilihat pencapaian terbaik Wan Jamak Wan Hassan sebagai pengendali skuad Rusa.

Menyorot kembali pertemuan musim lalu, rekod lima pertemuan termasuk perlawanan akhir Piala Malaysia berpihak kepada Negeri Sembilan dengan empat kali kemenangan.

Pada perlawanan Liga Super di Kota Bharu, Negeri Sembilan berjaya menewaskan Kelantan 2-1 hasil jaringan Shahurain Abu Samah dan Mohd Zaquan Adha Abd Radzak. Manakala gol tunggal Kelantan dijaringkan oleh Indra Putra Mahayuddin.

Sementara perlawanan pusingan kedua di Paroi, Negeri Sembilan jelas tidak memberi ruang kepada Kelantan untuk mencipta kejutan setelah menang 2-0. Kedua-dua gol dijaringkan oleh Mohd Shukor Adan.

Dalam saingan separuh akhir Piala FA musim lalu, Kelantan meranapkan impian Negeri Sembilan apabila menang 2-1 hasil jaringan Indra Putra Mahayuddin dan Mohd Norfarhan Muhammad.

Biarpun Negeri Sembilan terlebih dahulu selesa membawa pulang kelebihan satu gol setelah menang 1-0 hasil jaringan Mohd Zaquan Adha Abd Radzak di Kota Bharu, tetapi peraturan gol di tempat lawan membolehkan Ke-lantan melangkah ke perlawanan akhir Piala FA musim lalu.

Rekod cemerlang tuan rumah bermain di Paroi setakat ini pastinya sukar digugat oleh mana-mana pasukan. Hanya Selangor yang mampu mencalarkan rekod tersebut apabila menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada perlawanan pertama Liga Super musim ini seterusnya menjulang Piala Sumbangsih.

Skuad Negeri Sembilan sebenarnya memiliki adunan pemain berpengalaman dan pemain muda yang telah membentuk sebuah pasukan yang mantap pada musim ini.

Biarpun kehilangan khidmat penjaga gol utama, Mohd Farizal Harun yang mengalami kecederaan lutut, penggantinya Mohd Sani Anuar Kamsani telah menunjukkan satu persembahan yang baik terutama pada perlawanan akhir Piala FA tempohari.

Sementara itu, benteng pertahanan mereka cukup kebal diterajui Mohd AidilZakuan Abd Radzak, Mohd Rahman Zabul, Ching Hong Aik dan juga tonggak berpengalaman, Mohd Shukor Adan.

Ching Hong Aik, berumur 37 tahun, masih lagi mampu menyumbang kudrat bersama skuad Rusa walaupun terpaksa bersaing hebat dengan kala-ngan pemain muda.

Kapten pasukan, Rizal Zambery Yahya dan Idris Karim dilihat antara pemain regular yang sentiasa mendapat kepercayaan oleh Wan Jamak mengemudi jentera tengah mereka.

Sentuhan pemain muda seperti K Thanaraj, S Kunanlan dan Shahurain Abu Samah tidak menghadapi masalah digandingkan bersama dengan dua pemain berpengalaman yang berasal dari Johor itu.

Posisi jentera serangan kadang-kala memeningkan kepala Wan Jamak kerana beliau hanya mengharapkan kelibat penyerang, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak sahaja. Itulah masalah yang dihadapi oleh Wan Jamak sekarang.

Tetapi, harus diingat dua pemain yang berasal dari Johor, Norizam Salaman dan Mohd Shaffiq Rahman boleh menjadi ancaman besar kepada benteng pertahanan Kelantan.

Penyerang, Mohd Shaffiq Rahman, pemain yang ‘disimpan’ hampir dua tahun oleh Negeri Sembilan gara-gara kecederaan kini dilihat bintang yang mampu menyinar bersama skuad Rusa.

Bagi pasukan Kelantan, memiliki barisan pemain bertaraf bintang bukan bermakna kita mampu menghadirkan kejayaan dalam sekelip masa. Kita perlu mencontohi Negeri Sembilan, di mana mereka mengekalkan barisan pemain yang sedia ada sekarang ini sejak 3-4 tahun yang lalu.

Dan kejayaan yang mereka kecapi pada masa kini adalah hasil daripada ramuan pihak Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PB-NS) yang mengekalkan pemain sedia ada sejak beberapa musim yang lalu.

Posisi penjaga gawang Kelantan menyaksikan Mohd Halim Napi, Khairul Fahmi Che Mat dan Syed Adney Syed Hussien bersaing sesama sendiri merebut tempat sebagai penjaga gol utama.

Syed Adney yang sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan, tentu tidak mahu berada di bangku simpanan selepas penampilan kali terakhir bersama Kelantan ialah pada perlawanan pusingan kedua menentang Kedah dalam saingan Piala FA hampir dua bulan lalu.

Di benteng pertahanan, B Sa-thianathan masih lagi berkira-kira mencongak siapakah yang akan turun beraksi di posisi itu.

Azizi Matt Rose , digelar ‘kereta kebal’ Kelantan, hampir pasti diturunkan.. Sementara pemain seperti Zairul Fitree Ishak, Mohd Rizal Fahmi Abd Rosid dan Daudsu Jamaluddin berada dalam senarai pemain yang mengalami kecederaan.

Sementara itu, S Subramaniam berpeluang untuk diturunkan dalam kesebelasan utama setelah berehat panjang akibat kecederaan.

Jentera tengah Kelantan sekali lagi memperlihatkan gandingan ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin dan Mohd Norfarhan Muhammad untuk mencipta gerakan menarik kepada penyerang Red Warrior’s.

Mohd Shakir Shaari dan Muhd Badhri Radzi juga dilihat pemain sesuai untuk menjana jentera tengah Kelantan.

Sekembalinya Norshahrul Idlan Talaha ke pangkuan skuad Kelantan setelah menjalani latihan bersama skuad kebangsaan, dijangka memberi sedikit harapan kepada Sathianathan untuk mencari gandingan terbaik di bahagian hadapan pasukan Kelantan.

Dengan Hairuddin Omar masih lagi menjalani penggantungan perlawanan, Akmal Rizal Rakhli, S Chanturu dan Mohd Nizab Ayub dilihat menjadi antara calon pilihan untuk berpasangan dengan Norshahrul Idlan Talaha bagi merobek pintu gol Negeri Sembilan.

Di atas kertas, segala-galanya kelebihan memihak kepada Negeri Sembilan. Tetapi itu tidak bermakna Kelantan tidak boleh melakarkan kejutan di Paroi.

Bola sepak ada kalanya penuh dengan kejutan. Mencipta keme-nangan di Paroi bererti Kelantan berjaya merapatkan jurang untuk bersaing dengan empat pasukan teratas dalam liga seterusnya menyingkirkan skuad Rusa ke tangga kelima liga. -Sinar Harian

Tiada ulasan: