2 Mac 2010

Kelantan Sambut Baik Cadangan KAFA Bina Stadium Di Gading Galoh

KOTA BAHRU, 1 Mac (Bernama) -- Kerajaan Kelantan menyambut baik cadangan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk membina stadium negeri di Gading Galoh, Machang bagi menjimatkan kos dan demi kepentingan sukan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Abdul Fatah Mahmood berkata kerajaan akur dengan keputusan KAFA itu demi memajukan dan meningkatkan mutu sukan di negeri ini tanpa membabitkan kepentingan politik.

"Kita bersetuju dengan cadangan itu jika ia boleh menjimatkan kos dan kepentingan sukan di negeri ini, walaupun kerajaan negeri sudah membuat cadangan awal untuk pembinaan stadium negeri termoden di lokasi lain," katanya kepada Bernama di sini Isnin.

Abdul Fatah diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed bahawa projek pembinaan stadium bola sepak negeri yang baru di Gading Galoh, Machang, tapak yang disediakan Kerajaan Pusat mempunyai peluang lebih baik untuk diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) kerana kosnya lebih efektif.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata projek pembinaan stadium itu dilihat lebih murah seperti yang dicadangkan oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) melalui Majlis Sukan Negeri Kelantan kerana kos pembinaannya dianggarkan menelan belanja RM120 juta.

Selain itu, kata Mustapa, pemilikan tanah untuk tapak stadium itu juga dianggap mudah kerana tapak yang dicadangkan itu adalah tanah milik Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berbanding kos dicadangkan di Bandar Baru Tunjung, yang membabitkan peruntukan RM500 juta.

Abdul Fatah berkata kerajaan negeri sedia berkompromi dengan Kerajaan Pusat dalam menyediakan kemudahan asas untuk rakyat ini, tanpa mengira ideologi politik.

"Kita menyambut baik cadangan Kerajaan Pusat itu untuk pembinaan stadium bagi memajukan sukan bola sepak di negeri ini, selaras dengan usaha kerajaan negeri memajukan bidang sama.

"Ketika ini, kami mengadakan akademi bola sepak di kalangan remaja yang bakal menjadi pelapis bola sepak di negeri ini dengan menganjurkan pelbagai kejohanan, termasuk kejohanan liga Dewan Undangan Negeri (DUN) merebut Piala Menteri Besar Kelantan (Piala Tok Tok Guru)," katanya. - bernama

Tiada ulasan: