19 Jan 2010

Red Warriors perlu baham Sang Kenari


KELANTAN FA vs KEDAH FA
Tarikh: 19-01-10
Masa : 8.45 mlm
Venue: Stadium Sultan Muhammad IV, KB.
Tiket  : RM25 GS, RM12 Open.

Kelantan akan turun malam ini melayan kunjungan pasukan dari utara tanahair Kedah. Setelah diaibkan oleh Johor FC di tempat sendiri sabtu lepas, Kedah sudah pasti ingin melupakan episod malang tersebut dengan menewaskan Kelantan yang sememangnya menjadi pilihan mana-mana pasukan untuk 'menguji' kekuatan sebenar  pasukan mereka.

Kelantan yang belum tewas dalam tiga perlawanan sebelum ini dengan keputusan yang cukup mengecewakan penyokong-penyokong fanatik mereka hanya mampu sekali menang serta dua kali seri dan hanya mampu berbangga masih lagi menjadi pasukan tunggal dalam liga super yang belum dibocori gawangnya.

Andai dianalisis perlawanan sebelum ini, pemain-pemain Kelantan terutamanya yang berstatus 'bintang' masih lagi tercari-cari rentak sebenar mereka dan 'gandingan lapuk' yang dilabelkan kepada mereka seharusnya dikikis dengan memberikan persembahan serta corak permainan menarik malam ini.

Penyokong-penyokong setia Red Warriors sudah pasti ingin melihat permainan menghiburkan serta menarik dan setimpal dengan harga tiket yang agak mahal musim ini serta di anggap termahal dalam liga super yang dikenakan kepada mereka iaitu RM12 untuk tempat duduk terbuka serta RM 25 untuk astaka.

Kita bukan ingin melihat pasukan Kelantan bermain seperti pasukan-pasukan ternama EPL kerana kita masih jauh dari mereka, tetapi kita ingin melihat permainan yang menarik serta berbaloi dengan harga tiket yang dikenakan serta 'kesusahan' yang dihadapi semasa ingin masuk ke stadium kerana terpaksa berasak-asak kerana kurangnya kawalan keselamatan dari pihak KAFA.

Jika pemain-pemain bermain ditahap sebenar terutamanya barisan hadapan iaitu Hairuddin Omar, Akmal serta Indra Putra, Kelantan pasti mudah untuk menewaskan Kedah.

Pujian melangit seharusnya diberikan kepada barisan pertahanan iaitu Farisham, Azizi Mat Rose, Daudsu, Subramaniam serta penjaga gol Syed Adney yang ternyata cukup cemerlang setakat ini. Aksi konsisten mereka ternyata banyak membantu  Kelantan dalam mengekang asakan dari lawan.

Penyokong-penyokong Kelantan juga tertunggu-tunggu kelibat Norfarhan serta Zairul Fitree yang sudah pulih dari kecederaan dan dijangka akan diturunkan jika cergas untuk menentang Kedah malam ini.

B.Sathinatan diharapkan dapat merangka 'strategi ampuh' bagi menumbangkan Kedah malam ini. Kepakaran beliau amat ditagih oleh penyokong-penyokong Kelantan.

Diharapkan juga penyokong-penyokong setia Red Warriors akan membanjiri stadium keramat malam ini untuk memberikan sokongan padu dengan  harapan pemain-pemain dapat menterjemahkan kemenangan kepada Kelantan dengan persembahan paling menarik dan menyakinkan.

"Gomo Kelate Gomo"
"Gomo Kedoh Sapa Cawat Kote"

Tiada ulasan: