1 Nov 2009

Penyokong Perlis didakwa rosakkan bas, kenderaan penyokong Kelantan

KOTA BHARU: Lebih 10 bas dan puluhan kenderaan lain milik penyokong Kelantan yang menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua antara Kelantan dan Perlis di Stadium Utama Negeri, Kangar, malam tadi, rosak akibat tindakan liar sesetengah pihak yang didakwa dilakukan penyokong Perlis.

Mereka mendakwa, bas dan kenderaan lain itu dibaling pelbagai objek seperti batu besar, lastik, telur busuk dan kayu sehingga memecahkan cermin kenderaan termasuk kemek pada kejadian yang berlaku ketika perlawanan hampir tamat dan berlanjutan sehingga ke jalan keluar dari Kangar.

Berikutan itu, lapan pemilik bas membuat laporan polis di Balai Polis Gurun, Kuala Muda, Kedah pada jam 2 pagi ini kerana khuatir keselamatan mereka dan penyokong Kelantan yang berada di dalam bas.

"Kami kerugian besar apabila hampir 10 bas pecah dan cermin retak. Malah, ada penyokong yang cedera di mata kerana serpihan kaca.

"Kenderaan kami dibaling pelbagai objek bermula di perkarangan stadium sehinggalah melepasi Kangar yang peminat tunggu sama ada di jejantas dan bahu jalan untuk membaling objek," kata seorang pemandu bas, Zulkifli Yusof, 45, di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini.

Zulkifli berkata, mereka terpaksa mendapatkan bantuan polis bagi mengawal bas penyokong Kelantan itu tetapi mendakwa ia gagal menakutkan penyokong Perlis yang seperti "naik hantu" apabila pasukan mereka kalah.
"Kami dibaling batu ketika di stadium lagi sehingga ada yang cedera dan dihantar ke hospital termasuk seorang kanak-kanak lelaki berumur lima tahun yang cedera parah di bahagian kepala," kata Zulkifli.

Seorang lagi pemandu, Mohamad Azuan Hamid, 28, menganggarkan kerosakan basnya melebihi RM3,000 apabila beberapa bahagian cermin pecah dan retak manakala beberapa tempat di bahagian badan bas kemek.

"Saya tidak pernah alami keadaan takut seperti ini dan lihat penyokong Perlis seperti naik hantu cuba memukul dan merosakkan kenderaan kami," katanya.

Beliau dan rakan-rakannya akan menuntut kerugian itu daripada Persatuan Bola Sepak Perlis.
"Kami tidak boleh menuntut insurans atas perkara itu dan kami terpaksa menuntut kerugian ini kepada Persatuan Bola Sepak Perlis," katanya.

Sementara itu, seorang pemilik kenderaan jenis Nissan Sentra turut mendakwa kenderaannya rosak teruk selepas dibaling batu dan ditendang penyokong Perlis ketika di stadium.

"Encik tengoklah kenderaan saya itu yang rosak teruk seperti cermin pecah dan badan kereta saya rosak. Siapa nak tanggung kerosakan kereta saya ini," katanya.

Pada perlawanan malam tadi, Kelantan menang 3-1 untuk layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia dengan agregat kemenangan 5-1.

Ia adalah jaringan hatrik Mohd Norfarhan Mohamad pada minit ke-26, 53 dan 87.

Kemaraan ke perlawanan akhir itu adalah penantian Kelantan dalam tempoh 40 tahun. - Bernama

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Lepas ni jgn kita tiru cara diorang. Jangan kita ikut cara diorang gi rosakkan harta benda / kenderaan penyokong pasukan lawan.

Marilah kita jadi penyokong minda kelas pertama