30 Nov 2009

Annuar sedia duit poket sendiri

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
bhsukan@bharian.com.my


ANNUAR berbual dengan pasangan pengantin, pemain bola sepak Kelantan, Mohd Daudsu Jamaludin dan pasangannya, Nur Syahmina Rasudin di Jalan Telipot semalam.

Pastikan Kelantan boleh terus beraksi dalam Liga Malaysia musim depan

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa akan menyediakan sendiri wang RM2.5 juta, bagi memastikan skuad The Red Warriors boleh terus beraksi dalam Liga Malaysia musim depan.

Kelantan kian terdesak apabila masa yang diberikan untuk mengemukakan aset kewangan sebanyak RM2.5 juta atau surat jaminan dari kerajaan negeri kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan berakhir hari ini.

“Saya terpaksa memikirkan alternatif terbaik iaitu meletak sendiri jaminan itu bagi membolehkan Kelantan beraksi pada musim depan kerana sudah dua tahun kami bergerak tanpa bantuan mana-mana pihak.

"Adalah satu perkara yang tidak dapat diterima akal serta peminat, kalau saya biarkan Kelantan tidak dapat beraksi musim depan hanya kerana perkara ini. Jadi, jalan terakhir adalah untuk saya mengeluarkan wang sendiri,” katanya ketika ditanya mengenai keupayaan Kelantan menyediakan aset kewangan itu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad sudah menghantar surat peringatan kepada Kafa supaya menunjukkan bukti mempunyai aset sebanyak RM2.5 juta atau surat jaminan daripada kerajaan negeri sekiranya mahu beraksi pada musim depan.

Annuar berkata, kerajaan negeri yang sepatutnya menyediakan surat jaminan bagi membolehkan Kelantan beraksi pada musim depan, mengambil sikap berdiam diri dan sehingga kini belum memberi sebarang keputusan mengenai surat itu.

Katanya, semua negeri sudah mendapat pembiayaan daripada kerajaan negeri masing-masing bagi membolehkan mereka memulakan kempen musim 2010, namun Kelantan masih terkial-kial mengenai hal ini.

"Saya sudah memberitahu Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengenai perkara ini selain Exco kerajaan negeri, namun masih belum mendapat sebarang jawapan mengenainya, sedangkan masa sudah begitu suntuk," katanya.

Tiada ulasan: