24 Sep 2009

Rosairil resah.....

AIDILFITRI kali ini tidak seceria dulu buat pemain Kelantan, Rosairil Asrul Mohd Nor, yang resah menunggu pengesahan untuk beraksi dalam Piala Malaysia yang bermula Sabtu ini.

Pengurusan skuad Kijang dikatakan akan menggugurkan lapan pemain daripada barisan yang memikul cabarannya.

Pemain pertahanan berusia 32 tahun itu berkata apa yang dihajati adalah hanya untuk terus membantu Kelantan sehinggalah pasukan negeri kelahirannya itu berjaya menggondol piala besar seperti Piala Malaysia buat kali pertama.

“Usia yang semakin lanjut ini menyukarkan saya untuk terus dipilih bermain bola sepak profesional pada tahun akan datang dan saya tidak mahu dipinggirkan sekarang ketika kecergasan saya masih di tahap optimum.

“Saya sudah membuktikan dalam ujian kecergasan dan sesi latihan yang saya lebih cergas berbanding ramai pemain lain yang lebih muda dan saya berharap jurulatih tidak terlalu cepat menidakkan keupayaan saya,” katanya.

Kehadiran pemain pertahanan, Nazrul Irwan Makmur, yang dipinjamkan daripada Felda United dan pemain tengah T-Team Kuala Terengganu, Norhisham Hassan, menunjukkan pihak pengurusan ingin melakukan rombakan pasukan.

Juga diserapkan ke dalam pasukan utama ialah enam pemain Piala Presiden dan ini memberi bayangan yang ramai pemain kini mungkin terpaksa melupakan hasrat bertarung merebut Piala Malaysia.

“Walau apapun, saya tetap gigih menjalani latihan sepanjang bulan puasa ini untuk memastikan saya dalam keadaan fizikal terbaik walaupun pihak pengurusan mungkin memutuskan untuk menggugurkan saya nanti” kata Rosairil yang sebelum ini bermain untuk Terengganu.

Sementara itu, bekas rakan sepasukan Penyu, Norhisham, berkata beliau tidak mempunyai masalah menyesuaikan diri dengan pasukan Kijang itu kerana mempunyai beberapa kenalan yang juga rakan sepasukan.

“Terengganu dan Kelantan tidak banyak bezanya dan walaupun saya masih baru lebih dua minggu di sini, saya sudah merasai kesesuaian dan boleh dikatakan tidak sabar lagi untuk membantu Kelantan pergi jauh dalam kejohanan berprestij ini.

“Bagaimanapun, saya kurang pasti dengan perkhabaran yang beberapa pemain Kelantan tidak akan disenaraikan dalam skuad Piala Malaysia dan saya harap bukan saya yang menjadi penyebab, sekiranya perkara itu betul berlaku,” katanya.

Namun, menurut Pengerusi Jawatan Kuasa Pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan, Azman Ibrahim, pengguguran beberapa pemain daripada skuad itu masih di peringkat cadangan.

“Semua itu belum lagi diputuskan dan kami akan berbincang mengenai perkara itu terlebih dulu kerana hampir semua pemain yang ada sekarang mempunyai kontrak yang hanya akan berakhir November nanti,” katanya. -metro

Tiada ulasan: