|
|
Rombakan tersebut menyaksikan Persatuan Bola Sepak Sarawak antara pasukan yang tidak bersedia dan mengancam untuk menarik diri buat sementara waktu.
Ini berikutan masalah kewangan yang melanda pasukan itu dan beberapa pasukan lain antaranya UPB-MyTeam yang hampir menarik diri daripada saingan Piala Malaysia 2009.
Ekoran daripada itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa (gambar) mengambil inisiatif untuk mengadakan kunjungan hormat ke semua persatuan bola sepak negeri.
Menurutnya, beliau akan menemui rakan sejawatnya bagi membincangkan secara hati ke hati selain berkongsi masalah yang dihadapi.
“Saya dapati banyak persatuan bola sepak negeri mempunyai masalah tersendiri tetapi mereka tidak menzahirkan masalah tersebut dan terpaksa memikul beban.
“Sebagai contoh, peraturan FAM yang menghendakkan persatuan bola sepak negeri mendepositkan RM150,000 untuk menyertai Liga M musim depan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambahnya, peraturan baru ini agak membebankan persatuan kerana mereka bukan sahaja menghadapi masalah menanggung kewangan semasa tetapi turut memikul beban hutang lapuk.
Katanya, pertemuan yang akan diadakan ini untuk membincangkan bagaimana persatuan boleh mengkomersilkan pasukan untuk menarik penajaan selain menjamin kelangsungan masa depan bola sepak di negara ini.
“Dalam pertemuan itu nanti, kita akan bincangkan masalah serta mencari formula untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.
“Sekiranya terdapat ketetapan, kita akan mengajukannya kepada Majlis Mesyuarat FAM supaya ia dapat dibincangkan dan diselesaikan dengan cara yang lebih efisien,” ujarnya.
Ditanya kenapa tidak diadakan satu mesyuarat khas yang dihadiri semua presiden persatuan bola sepak negeri, Annuar menjawab: “Pertemuan dengan cara begini mungkin lebih baik kerana dapat saya dapat bertemu mata dengan presiden-presiden persatuan dan berbincang secara lebih dekat tentang masalah yang dihadapi.
“Sebelum ini terdapat banyak sangat syarat yang dikenakan FAM sehingga ia menjadi beban kepada pasukan negeri,” jelasnya. -kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan