MALAYSIA akan berbangga sekiranya individu kedua terkaya di Malaysia, Tan Sri T. Ananda Krishnan (gambar kecil) membeli kelab bola sepak England, Newcastle United.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, jika itu berlaku, ia adalah yang pertama seumpamanya dilakukan oleh rakyat negara ini.
“Kita sebagai rakyat Malaysia harus berbangga kerana ada di kalangan rakyat negara ini mampu terlibat dalam satu urus niaga yang besar seperti ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan Pasukan Sorak 2009 di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.
Ahmad Shabery berkata, beliau berharap jika perkara tersebut berlaku, ia akan memberi impak yang besar kepada bola sepak tanah air.
Selain itu, katanya, langkah itu wajar dianggap sebagai satu pemangkin ke arah menjadikan sukan bola sepak tanah air sebagai satu industri.
Akhbar tempatan kelmarin melaporkan, individu kedua terkaya di Malaysia itu disebut-sebut sebagai prospek utama untuk menjadi penyelamat kepada kelab bola sepak England, Newcastle United.
Akhbar Britain, The Sun melaporkan perjanjian bernilai 95 juta pound (RM547 juta) meletakkan taikun media dan telekomunikasi Malaysia itu dalam senarai teratas prospek untuk mengambil alih kelab The Magpies itu.
Ananda dilaporkan menjadi calon pilihan selepas mengadakan pertemuan dengan pemilik kelab, Mike Ashley dan pengarah urusan mereka, Derek Llambias di London baru-baru ini.
Menurut akhbar itu lagi, hartawan dari Malaysia itu bersetuju membeli kelab berkenaan dengan harga 40 juta pound (RM230.3 juta) lebih rendah daripada harga asalnya, 135 juta pound (RM752 juta) ketika ia dibeli oleh Ashley pada 2006. -ihsan kosmo
2 ulasan:
tapi , lagi bagus org yg membeli tu bangsa melayu..
but the problem is , ade ke owg melayu kaye mcm ananda krishnan ?
Catat Ulasan