18 Jun 2009

Kijang garang dan penonton berdisiplin


TIADA lagi episod kontroversi yang melanda Skuad Kijang sebaliknya tumpuan penuh perlu diberikan untuk meningkatkan lagi mutu permainan terutama bagi memastikan Kelantan tersenarai antara lima pasukan terbaik sebelum meneruskan perjuangan ke Piala Malaysia.

Pasukan The Red Warriors yang kembali beraksi di Stadium Sultan Muhammad IV, saingan Liga Super menentang UPB-MyTeam, malam kelmarin, nyata tidak mengecewakan apabila meraih kemenangan 3-0, di tempat sendiri selepas tujuh minggu digantung beraksi di gelanggang sendiri gara-gara insiden rusuhan yang mencemarkan arena bola sepak negara, baru-baru ini.

Kejadian sebelum ini turut diambil iktibar oleh peminat setia Kelantan yang hadir memenuhi ruang stadium tanpa menimbulkan sebarang kekecohan sebaliknya menonton dengan rasa puas dan tenang selepas melihat pasukan itu kembali menyengat di gelanggang sendiri.

Rasa puas hati itu turut disuarakan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa, yang menyifatkan mutu permainan Kelantan kembali kepada asal di samping semangat pasukan yang kembali pulih ketika beraksi dalam permainan sulung selepas tindakan gantung itu.

Katanya, semua pemain Skuad Kijang perlu berazam untuk bermain lebih baik bagi meningkatkan prestasi masing-masing berikutan kedudukan pasukan itu kini menjunam ke tempat keenam.

“Kita bersyukur kerana pasukan Kelantan dapat beraksi di tempat sendiri mutu permainan kembali kepada asal dibantu semangat dalam stadium sendiri.

“Namun, bukan itu saja kerana apa yang penting ialah penyokong berpeluang menyaksikan pasukan negeri mereka sendiri dan pada masa sama perlu membuktikan bahawa kita adalah tuan rumah yang baik.

“Kita mahu melihat mutu permainan bola sepak meningkat dari semasa ke semasa,” katanya.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini menjatuhkan hukuman kepada Kafa dengan larangan bermain di Kota Bharu selepas berlaku rusuhan penonton sebaik tamat perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Kelantan dan Negeri Sembilan pada 7 April lalu.

Bagaimanapun Jawatankuasa Disiplin FAM memutuskan untuk membatalkan penggantungan itu selepas menerima rayuan Kafa.

Annuar berkata masih belum terlambat untuk mengejar kembali kedudukan lima teratas sekali gus memberi kedudukan selesa bagi laluan ke Piala Malaysia.

“Kita masih belum terlambat dan perlu memenangi setiap perlawanan. Sekiranya kita berada di lima pasukan teratas, ia akan memberi kelebihan untuk hadapi Piala Malaysia.

“Matlamat kita sekarang ialah menyertai lima teratas untuk menjadi pencabar dalam Piala Malaysia. Kita mula menyusun pasukan ke arah Piala Malaysia.

“Saya berasa tenang kerana segala masalah sudah selesai dan tumpuan kita sekarang ialah membina pasukan lebih kuat,” katanya. -Ihsan Metro

Tiada ulasan: