RAJA AHMAD ZAINUDDIN
HADIAH kemenangan pasukan Perak, ketika saya menjadi pengurus selepas menjulang Piala FA 1990 ialah lawatan ke Eropah.
Perak bukan saja menjadi pasukan pertama muncul juara pertandingan itu tetapi pada tahun yang sama juga, kejayaan besar dicapai selepas kali terakhir masuk ke final kancah bola sepak tempatan pada 1970 ketika muncul juara Piala Malaysia .
Dalam siri lawatan itu, Perak mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab di bandaraya Belgrade di Yugoslavia. Kami seri dan tewas dalam dua perlawanan yang diadakan.
Kini, Kelantan yang muncul naib juara Piala FA musim ini, memilih ke United Kingdom dan akan melawat kelab termasyhur di liga Inggeris, Manchester United.
Pemain Kelantan bertuah kerana hanya muncul naib juara, mereka akan dibawa melancong ke Manchester . Jika muncul juara, barangkali hadiah besar menunggu mereka dan janji sedemikian bukan pembaziran, tetapi sebagai insentif daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dalam usaha membakar semangat pemain.
Lagipun, itulah detik penantian 39 tahun Kelantan melangkah ke mana-mana final. Pada 1970, mereka ditewaskan Perak dalam perlawanan akhir Piala Malaysia dan kali terakhir memenangi kejohanan berprestij ialah pada 1921 ketika Piala HMS Malaya diperkenalkan.
Selepas ditewaskan Selangor dalam final Sabtu lalu, pasukan jolokan Kijang Merah itu masih berpeluang merebut dua lagi trofi iaitu Liga Super dan Piala Malaysia musim ini. Dalam Liga Super, mereka menduduki tangga keempat di belakang Perlis, Selangor dan Negeri Sembilan, tetapi masih ada satu lagi perlawanan dalam tangan iaitu menentang KL Plus.
Apa yang diharap Kafa dan semestinya Annuar ialah pemain meneruskan rentak cemerlang untuk dihadiah kepada penyokong setia Kelantan yang terpaksa bermain di gelanggang luar dari Kota Bharu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan