1 Apr 2009

Kafa Tidak Salahkan Penonton Baling Mercun Ke Tengah Padang

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak menyalahkan penonton yang membaling mercun dan botol minuman ke tengah padang dalam perlawanan Liga Super malam tadi antara Kelantan dan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Mohamed ke-IV yang berkesudahan Kelantan tewas 1-2.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata penonton tidak akan bertindak liar jika pengadil perlawanan malam tadi adil dalam membuat keputusannya.

"Saya tidak salahkan penonton tetapi mutu pengadilan yang lemah selain kegagalan polis bertindak pantas menyebabkan penonton bertindak liar membaling objek dan membaling mercun ke tengah padang sehingga pada satu ketika keadaan nampak tegang," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Ekoran insiden tersebut perlawanan tertangguh beberapa ketika yang turut menimbulkan bantahan dari pasukan Negeri Sembilan.

Annuar berkata sepatutnya polis bertindak pantas mengawal keadaan dan bukannya menunggu keadaan semakin kecoh untuk berbuat sesuatu.

Katanya terpulanglah kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membuat keputusan berhubung insiden malam tadi dan Kafa bersedia menghadapi sebarang tindakan.

Kelantan yang kini mengutip 21 mata menduduki tempat ketiga di belakang Perlis dan Selangor.

-- BERNAMA--

Tiada ulasan: