6 Mac 2009

Skuad Kelantan dijanji 'hadiah' ke Old Trafford

Oleh KHAIRI MOHAMAD
mohdkhairi.mohamad@kosmo.com.my


ANNUAR (kanan) dan jurulatih Kelantan, Peter James Butler menyaksikan pemain menjalani latihan di Stadium Mohammad Ke-IV semalam.
---------------------------------------------------------------------------------------

PIALA FA ke Kelantan, pemain ke Old Trafford.

Itu janji Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa kepada barisannya jika mereka berjaya membawa pulang Piala FA ke negeri Cik Siti Wan Kembang.

Menurutnya, Kelantan berada pada landasan yang baik untuk mencapai kejayaan tersebut.

"Ini merupakan peluang untuk kita mencipta sejarah iaitu layak ke separuh akhir dan kita mahu terus melangkah sehingga ke perlawanan akhir.

"Janji saya, jika kita menang Piala FA, pemain akan dibawa melawat ke Old Trafford di mana sebuah kelab gergasi dunia, Manchester United beraksi untuk melihat sendiri perkembangan bola sepak mereka," katanya semalam.

Tambahnya, masalah kecederaan dan penggantungan tidak sedikit pun mengganggu fokus pasukan Kelantan dan kelebihan beraksi di tempat sendiri akan digunakan sebaik mungkin.

"Para pemain terpaksa berdepan tujuh perlawanan yang mencabar iaitu menentang pasukan elit seperti Sela- ngor dan Kedah dalam tempoh 50 hari sama ada dalam saingan Liga Super mahupun Piala FA.

"Saya harap para pemain mampu mengharunginya dan mempersiapkan diri dengan kekuatan mental dan fizikal dalam menghadapi cabaran tersebut," ujarnya.

Jelasnya, ketiadaan Halim Napi dan Ahmad Azlan Zainal dalam kesebela- san utama pada aksi kedua saingan suku akhir Piala FA malam esok tidak akan merencatkan permainan kerana Kelantan mempunyai ramai pemain yang berkaliber di bangku simpanan.

"Kelantan mempunyai 29 pemain yang disenaraikan dan kita percaya semua mereka mempunyai kualiti masing-masing dan perlu diberi peluang.

"Kita yakin Shahrizan (Ismail) yang akan diturunkan menggantikan Halim (Napi) mampu beraksi cemerlang kerana dia merupakan seorang pemain yang baik," jelasnya.

Annuar juga berharap agar para penyokong dapat membanjiri stadium dengan memakai baju berwarna merah dan membawa bendera negeri atau pasukan sebagai tanda sokongan.

Sumber : Kosmo

Tiada ulasan: