12 Mac 2009

The Red Warriors Jadi Topik Bualan

Ketika rakyat di negeri Pakatan lain termasuk Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Kedah sibuk dengan isu pilihan raya, rasuah dan perebutan jawatan menteri besar namun masyarakat Kelantan kecoh dengan kehebatan pasukan bola sepak The Red Warriors. Tidak kira di mana baik di kedai kopi, restoran atau di kalangan peminat bola sepak kehebatan pemain Kelantan mula menjadi topik hangat setiap hari. Ada yang menyatakan Kelantan tidak mampu merangkul apa jua kejuaraan ekoran jual beli permainan yang berlaku setiap bukan dalam kalangan pemain tetapi dalam kalangan pengurusan KAFA.

Tetapi ramai juga memberitahu Kelantan mempunyai harapan untuk membawa pulang tiga kejuaraan iaitu juara Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia selepas Piala Emas Raja-Raja sah menjadi milik skuad kijang. Kita tunggu dan lihat apakah telahan serta cakap-cakap orang menjadi kenyataan atau sebaliknya yang berlaku.

Kelantan sebelum ini dilabel sebagai pasukan yang teruk dan permainan ‘jahat’ namun semua itu hanya tinggal sejarah. Selepas Tan Sri Annuar Musa mengambil alih tampuk pengurusan persatuan Bola Sepak Kelantan dua tahun lalu, skuad Cik Siti Wan Kembang mula berubah wajah termasuk imej dan mentaliti pemain.

Bermula dengan kehebatan Norizan Bakar atau yang dikenali Cikgu Jan, pasukan itu muncul pemenang tempat ketiga Liga Perdana dan sebelum bermula liga mendapat ehsan PDRM untuk beraksi di Liga Super.

Pasukan yang langsung tidak diberi harapan muncul antara pencabar terkuat pada saingan Liga Malaysia termasuk Liga Super dan Piala FA selepas mendapat sentuhan ajaib ketua jurulatih Peter James Butler, selain kehadiran beberapa pemain bintang termasuk Indra Putra Mahayuddin, Khalid Jamlus dan Nor Farhan Mohamad.

Dilihat pada prestasi terkini Kelantan yang menghuni di tangga kedua Liga Super, berkongsi mata dengan Selangor iaitu 18 mata dan mara ke separuh akhir Piala FA buat pertama kali membuktikan ia adalah musim terbaik untuk merangkul kesemua kejuaraan musim ini.

Tidak dinafikan perjalanan musim masih panjang dan seribu kemungkinan boleh berlaku, namun jika dilihat kesungguhan dan kombinasi mantap pemain ia bukan misi mustahil. Kelantan menyenaraikan 29 pemain bagi musim ini, malah tidak mempunyai masalah jika beberapa tonggak dilanda kecederaan atau penggantungan kerana prestasi mereka dianggap seimbang.

Kelantan bakal mengharungi perlawanan di gelanggang sendiri yang menjadi igauan buruk kepada pasukan pelawat setiap kali bertandang iaitu dengan Pulau Pinang (21 Mac) dan Negeri Sembilan (31 Mac) sebelum pertemuan separuh akhir pertama dengan Negeri Sembilan (7 April).

Sinar harian

Tiada ulasan: