13 Ogo 2014

Shawky cetus geram Kelantan

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan seakan-akan sudah hilang sabar dengan tindak-tanduk pemain import, Mohamed Shawky Yazib apabila mengemukakan aduan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berhubung kegagalannya melaporkan diri ke pangkuan pasukan.

Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail berkata, aduan berkenaan telah dikemukakan kepada kedua-dua badan induk bola sepak itu kelmarin bagi mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Menurutnya, sehingga semalam pemain kelahiran Mesir itu masih belum melaporkan diri biarpun kesemua pemain Kelantan telah menjalani latihan persiapan menjelang saingan Piala Malaysia sejak 5 Julai lalu.

“Saya tidak tahu mengapa pemain berkenaan (Shawky) masih gagal melaporkan diri. Lagipun dia tidak pernah menghubungi KAFA untuk memberitahu masalah yang dihadapinya.

“Cuma saya difahamkan, pemain berkenaan pulang ke Mesir bagi menyelesaikan masalah keluarga yang dikatakan cukup rumit,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada Kosmo! selepas diminta mengulas mengenai kegagalan Shawky melaporkan diri bagi menghadapi saingan Piala Malaysia yang bermula hari ini.

Kosmo! Isnin lalu melaporkan, Kelantan terus dihimpit masalah selepas bekas pemain tengah Middlesbrough itu tidak melaporkan diri.

Rosmadi memberitahu, jika Shawky pulang ke pangkuan The Red Warriors, KAFA bersedia berbincang dan mendengar masalah yang dihadapi oleh pemain berkenaan.

Tanpa berselindung, Rosmadi berkata, Kelantan sememangnya memerlukan khidmat Shawky bagi menghadapi saingan Piala Malaysia musim ini selain memperkuatkan bahagian tengah pasukan.

“Kita akan gunakan segala kekuatan yang ada untuk mengharungi saingan Piala Malaysia musim ini,” ujarnya.

Aksi terakhir Shawky bersama Kelantan adalah pada pertemuan Liga Super dengan Johor Darul Takzim (JDT) yang menyaksikan The Red Warriors tumbang 0-3.

Pada pertemuan terakhir Liga Super dengan Terengganu, Shawky tidak beraksi selepas digantung perlawanan kerana mengumpul tiga kad kuning.

Sepanjang musim ini, Shawky menjaringkan enam gol dalam Liga Super dan satu gol dalam Piala FA.

Selain Shawky, seorang lagi tonggak import, Prince Tagoe turut mengundang masalah kepada Kelantan apabila pemain berkenaan masih belum menjalani latihan walaupun telah tiba ke Kota Bharu.

Artikel asal : Kosmo




Tiada ulasan: